Gambar hiasan - Foto blogspot.com
Celoteh Kak Feez

SIBUK betul dua minggu ni. Sana-sini meriah berkempen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15, esok Sabtu 19 Nov 2022.

Tak cukup dengan ceramah-ceramah di sana-sini, talian WhatsApp, sistem pesanan ringkas (sms), tiktok, telegram penuh dengan pelbagai mesej. Rata-rata setiap calon wakil rakyat melalui parti-parti yang diwakili memberi justifikasi mengapa mereka patut dan layak untuk dipilih sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Kekadang Kak Feez tersenyum sendiri bila dengar hujah-hujah kempen yang seperti menanam tebu di tepi bibir, kata-kata bagai sindiran.

Masa ini ramai calon-calon jadi cikgu-cikgi. Masa inilah mereka mengajar rakyat tentang ekonomi, siasah diri, agama dan hal ehwal kenegaraan.

Masa ini lah ada yang dok tuding jari ke sana dan sini sampai mereka terlupa bahawa satu jari menunjuk ke arah orang lain, empat lagi jari menunjuk ke arah diri sendiri.

Kalau arwah Atok Kak Feez kata dulu, ‘woiii cakap berdegor-degor, tahi sangkut di gelegor’. Maknanya lebih kurang untuk anak-anak zaman sekarang ini, takyah sembang sangatlah. Diri sendiri pun bukan hebat mana.

Bagi Kak Feez, berkempenlah dengan berhemah. Kalau nak berjanji pun, agak-agaklah jangan sampai berjanji sesuatu yang tak tercapai tangan.

Generasi sekarang tak makan dah dengan Janji Manis Mu macam lagu Aishah. Berikan fakta, contoh baik dan yang paling penting jangan kutuk mengutuk, buruk memburuk.

Ingatlah jika yang kita lawan itu seagama maka mereka saudara seagama dan ada hukumannya bila kita memburukkan saudara seagama kita.

Dah umur lebih setengah abad ini, Kak Feez tak berapa ikut lagi dah perkembangan politik.

Kak Feez pun tak bercita-cita nak jadi Menteri seperti ramai calon kita sedang mimpi sekarang ni.

Minat tu dah hilang sebab Kak Feez tahu kemampuan diri Kak Feez yang sangat terhad baik dari segi masa, tenaga dan kewangan. Nak jadi wakil rakyat ni, jiwa kena kental dah sanggup korban jiwa dan raga. Kita bukan sahaja punya keluarga yang dipertanggungjawabkan tetapi seluruh rakyat di kawasan yang kita wakili itu adalah tanggungjawab kita.

Kak Feez terpanggil dengan satu video ringkas yang digunakan oleh salah seorang penyokong parti yang Kak Feez terima.

Di dalam video ringkas ini, hamba Allah tersebut menyalahkan vaksin Covid-19 yang diberikan kepada rakyat. Mereka menuntut agar kerajaan tidak lepas tangan dan patut membayar pampasan kepada mereka yang terkesan dalam bab kesihatan akibat dari pengambilan vaksin untuk Covid-19 ini.

Berulang-ulang Kak Feez tengok video ini sambil berfikir dan mencongak sendiri.

Berapa ramai yang terkesan buruk dan berapa ramai pula yang terkesan baik setelah mengambil vaksin ini. Nisbahnya berapa? Sampai ke satu bab, mereka ini hendak menyaman kerajaan dan menyaman Menteri terlibat. Menuntut pampasan dan ganti rugi.

Teringat pesan arwah Abah pula, katanya “At times you have to put yourself in their shoes”.

Dalam hal ini sebagai rakyat, Kak Feez kena letak diri akak sebagai Menteri yang bertanggung jawab ketika itu. Apakah keputusan baik yang perlu diambil oleh kerajaan ketika darurat akibat daripada serangan Covid-19 yang bukan hanya melanda negara kita malahan seluruh dunia.

Pada ketika itu, vaksin adalah solusi terbaik yang difikirkan bagi menangani perebakan wabak ini.

Ibarat ditelan mati mak, diluah mati bapak. Sama isunya di sini, dibagi vaksin pun salah, tak dibagi vaksin nanti lagi salah.

Seluruh dunia tahu, vaksin dalam proses pembuatan yang belum matang tapi ia boleh digunakan. Dalam keadaan terdesak seluruh dunia mengambil keputusan menggunakan vaksin ini bagi mengekang penjalaran wabak C19 yang semakin meningkat.

Pasti akan ada yang mengatakan kerajaan tidak prihatin dan tidak bertanggung jawab kerana bersetuju dengan perkara ini.

Bagi Kak Feez, di dalam hal ini kita perlu berfikiran terbuka dengan bijak.

Vaksin ni bukan untuk menyembuhkan sebab ia bukan ubat.

Ada yang ambil vaksin, tiada alahan, ada yang ambil, kesan sampingannya ada dan memudaratkan kesihatan.

Kak Feez sendiri ngilu dan bimbang, tapi apa pilihan yang Kak Feez ada kerana Kak Feez ada Mak yang berusia 82 tahun dan cucu-cucu kecil.

Kerjaya Kak Feez yang ke sana dan ke mari boleh memberi risiko kepada diri dan mereka. Bagi Kak Feez ini rezeki memasing.

Pemberian vaksin ni seperti kita ada polis, tak semestinya kadar jenayah terus tiada langsung. Adalah juga tapi kurang, insyaAllah.

Macam bila kita keluar rumah, kita kunci pintu dengan mangga bagai, tetapi kekadang perompak masuk juga. Itulah rezeki memasing.

Jom, kita belajar hidup tanpa menyalahkan orang lain. Hidup dengan sederhana, terima apa seadanya. Seperti menjawab soalan peperiksaan, kita dah belajar, kita jawab, seterusnya berdoa dan tawakal. Apabila keputusan peperiksaan keluar, redhalah dengan apa yang diterima kerana itulah tanda aras usaha kita.

Kita nak masuk peperiksaan dua hari lagi ni. Kali ini jawapan yang dipilih akan kita pangkah.

Pangkah ini bukan bermakna kita salah. Itulah pilihan kita. Kita ini bijak, justeru pasti pilihan kita juga seorang yang bijak yang kita yakin dapat mewakili kita dengan baik. Calon yang mendahulukan semua tidak mengira agama dan bangsa dan pastinya masa depan untuk negara tercinta.

Tetiba, teringat kisah seorang hamba Allah ini dulu yang menuntut bahawa beliau diracun dengan racun arsenik.

Aduhai, racun ni setahu Kak Feez kalau termakan atau diberi makan, tak sampai seminit kesannya. Cakap biar benar, jangan berlakon untuk meraih simpati dan undi.

Rakyat dah bijak.

— BebasNews

Leave a Reply