Bakawali Versi 2022 merupakan single ketiga gandingan Jamal Abdillah dengan Wany Hasrita.

DARI satu lagu, kini sudah tiga lagu duet Datuk Jamal Abdillah dengan Wany Hasrita. Semuanya bermula dengan lagu Belenggu Rindu dan Ku Cuma.

Jika sebelum ini bila ditawar berduet dengan Wany Hasrita, Jamal tidak akan fikir lama. Baginya berkolaborasi dengan penyanyi baharu adalah sebagai salah satu usaha untuk memastikan karier seninya berterusan.

Namun apabila pihak FMC Music menawarnya berduet lagi dengan Wany Hasrita untuk single ketiga iaitu lagu Bakawali, penyanyi itu mengambil masa lama memikirkan tawaran tersebut.

Meskipun pengalaman lebih berbanding Syura dan Siti Nordiana yang merupakan penyanyi asal lagu Bakawali, Jamal tetap merasa bimbang.

Jamal Abdillah mahu terus bergandingan dengan Wany Hasrita.

Penyanyi yang digelar Raja Pop itu bimbang jika dia tidak dapat mengatasi atau menyamai kebaikan Bakawali yang pernah di rakamkan penyanyi asal.

“Tetapi apabila difikirkan semula, versi kali ini agak berbeza dengan yang asal kerana versi sebelum ini duet dua penyanyi wanita, jadi saya terima tawaran tersebut.

“Untuk lagu ini, saya terpaksa gunakan kebolehan dan kelebihan yang ada pada saya untuk mewarnai lagu ini sebaik mungkin. Serta mengambil cabaran tersebut dengan tekad untuk menberi hasil yang terbaik bukan sekadar buat bagi memenuhi syarat saja,” katanya terus terang.

Bercakap tentang Wany Hasrita, Jamal berkata, dia senang berkerjasama dengan penyanyi tersebut kerana Wany seorang yang berbakat dan mempunyai pengetahuan dalam lenggok dan patah lagu langgam dan tradisional serta mampu menyanyi dengan baik.

Dulu Bakawali dinyanyikan oleh dua orang penyanyi wanita, untuk versi baharu menampilkan Wany Hasrita dan Jamal Abdillah.

“Saya merasa teruja dan terharu apabila dapat berganding bahu dengan penyanyi baharu yang berbakat besar. Kerana sebelum ini bila pergi mengadakan persembahan di mana-mana, jarang sekali sepentas bersama angkatan artis baharu.

“Apa yang dilakukan oleh FMC Music ini sangat bagus. Di samping dapat memperkenalkan artis lama pada peminat generasi baharu, saya berpeluang melalui pengalaman dan suasana baharu di samping mendekati dan memberi sedikit sebanyak tunjuk ajar pada artis generasi kini.

“Saya juga berhajat ingin merakamkan lebih banyak lagi lagu dan ingin menjadikan lagu duet bersama Wany ini sebagai sebahagian dari koleksi lagu-lagu yang pernah saya rakamkan,” katanya.

Sementara itu, Wany berpendapat, kesempatan yang diberi oleh FMC Music merupakan salah satu cara untuknya mengembangkan bakat dalam mendendangkan lagu-lagu tradisional.

Gandingan penyanyi lama dan baharu diharap dapat menyemarakkan lagi industri seni tanah air.

“Ini sebagai satu cara Wany untuk menyumbang dan membantu mengekalkan irama tradisional, malah Wany memang suka menyanyikan lagu-lagu berentak Melayu dan tradisional. Peluang merakamkan semula lagu Bakawali merupakan satu cara Wany menguji kemampuan diri.

“Semua orang tahu lagu Bakawali ini pernah dinyanyikan dengan baik oleh penyanyi asal. Apabila dinyanyikan semula tentunya ramai yang tidak sabar nak dengar bagaimana hasilnya adakah lebih baik atau sebaliknya.

“Namun Wany bersyukur kerana dapat berduet dengan seorang mentor yang bagi Wany, dia juga seperti sifu. Datuk jamal banyak beri tunjuk ajar dan ianya memudah dan menguatkan semangat Wany untuk siapkan lagu ini dengan jayanya,” jelas Wany Hasrita.

Lagu Bakawali Versi 2022 mula disiarkan di saluran YouTube FMC Music sejak 17 November lalu dan boleh juga diikuti di seluruh saluran online yang lain.

— BebasNews

Leave a Reply