Bertemu pengundi-pengundi di Kolej Tingkatan 6 Tunku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam.

SABAK BERNAM — “Saya sudah berusaha setakat termampu dengan kapasiti yang ada kepada masyarakat Sabak Bernam. Keputusan malam ini kita terserah kepada Allah,” kata Datuk Seri Eizlan Yusof.

Eizlan, 51, yang juga Calon No. 1 mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) menggunakan logo Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertanding di P.092, Parlimen Sabak Bernam.

“Selama dua minggu berkampung dan menyantuni pengundi tempatan, hampir semua isu yang telah dibangkitkan rakyat sudah didengari malah ada yang diselesaikan terus dengan bantuan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan).

“Nawaitu saya tetap sama, andai ada rezeki, saya akan terus buat kerja tapi andai tiada rezeki sekali pun, saya akan tetap bekerja untuk masyarakat Sabak Bernam atas kapasiti NGO (Badan Bukan Kerajaan),” katanya tenang.

Eizlan telah melakukan yang terbaik, semunya terpulang kepada Allah.

Sebentar tadi, Eizlan mengambil peluang bertemu dengan pengundi di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sini, sebelum pulang ke Kuala Lumpur untuk menjalankan tanggung jawab sebagai pengundi di Setiawangsa pada tengah hari.

Selesai sahaja proses ‘buang undi’, beliau akan kembali ke Sabak Bernam pada sebelah petang untuk keputusan akhir yang akan diumumkan di Dewan Tun Razak Sabak Bernam, malam ini.

Beliau bertanding empat penjuru menentang calon PN, Kalam Sahlan; calon Pakatan Harapan (PH), Shamsul Ma’arif Ismail dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Rahman Bakri.

Eizlan sempat bertemu pengundi di sekitar Sabak Bernam sebelum pulang ke Kuala Lumpur untuk mengundi di Setiawangsa.

— BebasNews

Leave a Reply