Tan Sri Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM — Perikatan Nasional (PN) akan berbincang dengan parti-parti politik yang memenangi kerusi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau akan berbincang dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak untuk tujuan tersebut dalam masa yang terdekat.

“Bagi menjamin kestabilan PN juga mengalu-alukan penyertaan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip perjuangan PN.

“Sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil. PN juga mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Media Utama di Glenmarie Hotel & Resort pagi ini.

Muhyiddin berkata, andai kata PN berjaya membentuk kerajaan bersama parti-parti lain yang sehaluan tumpuan PN adalah untuk melaksanakan semua tawaran PNBest.

Mengulas lanjut berhubung penubuhan kerajaan tersebut, beliau akan mengambil kira pandangan yang telah disuarakan ramai dalam kalangan pimpinan tertinggi PN.

“Yang penting kita harap dengan PN mengetuai kerajaan ini maka kita akan dapat melahirkan suasana politik di negara yang paling stabil.

“Ini bermakna bahawa kita perlu mengambil kira pihak-pihak tertentu dalam parti lain kalau mereka ini sehaluan dan bersedia menerima prinsip perjuangan PN kita akan menimbang dengan secara mendalam,” katanya.

Jelasnya lagi, ‘respon’ daripada parti politik Sabah dan Sarawak amat menggalakkan dalam isu penubuhan kerajaan tersebut.

Beliau menambah, pihaknya ada menerima surat daripada pihak Istana Negara.

“Namun kandungan saya tidak payah sebutkan, dan telah memberi kepada kita perkara-perkara kita perlu sempurnakan mengikut kehendak ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply