PERSATUAN Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengingatkan, sebarang rundingan untuk membentuk gabungan dalam menyokong seseorang calon Perdana Menteri, mestilah dibuat secara persetujuan en-bloc (keseluruhan).

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, rundingan tidak boleh dijalankan secara persendirian kecuali bagi Ahli-ahli Parlimen Bebas.

“Semua Ahli Parlimen (Dewan Rakyat) yang dipilih (kelmarin menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 – PRU15) diingatkan mereka kini terikat dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang telah dikuat kuasa berkaitan halangan melompat parti.

“PPMM percaya Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah) mempunyai kebijaksanaan dalam memuktamadkan pelantikan Perdana Menteri yang ke-10 pasca PRU15.

“PPMM juga menggesa semua pihak menghormati titah Seri Paduka yang dizahirkan dan proses demokrasi berparlimen yang telah diamalkan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

PPMM juga menjunjung kasih titah baginda agar kesemua parti politik dan wakil rakyat yang telah dipilih, memberikan nama dan sokongan calon Perdana Menteri mengikut jumlah sokongan yang diterima melalui parti masing-masing memandangkan tiada satu parti politik yang beroleh majoriti kerusi untuk menubuhkan kerajaan.

PPMM juga ujar Zainul menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya menghormati dan berlapang dada dengan keputusan PRU15.

Semua Ahli Parlimen yang dipilih juga diseru memadu usaha, tenaga dan fikiran demi memajukan negara dan mempertahankan jati diri serta kecemerlangan watan, kata Zainul.

“PPMM juga memohon rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia demi membangunkan negara ini dalam pascapandemik Covid-19.

“Kita sudah tidak mempunyai masa untuk terus berantakan lagi, kini masanya untuk membina negara,” tegas beliau. — BebasNews

Leave a Reply