Oleh Arrazaq Nazri

TELEFON penulis berdering-dering sejak kelmarin.

Kebanyakan panggilan diterima daripada kawan-kawan dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mahu bertanyakan situasi politik negara.

Ini belum mengambil kira mesej whatsApp yang bertalu-talu masuk sejak malam 20 November termasuk daripada mereka yang sebelum ini mengaku tidak meminati politik.

Ketika menghadiri liputan sidang akhbar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Glenmarie Hotel & Resort kira-kira pukul 2 pagi dan PN mengesahkan mendapat 73 kerusi, saya dapat merasakan kerajaan sukar dibentuk.

Lebih-lebih lagi Barisan Nasional (BN) mendapat 30 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 81 kerusi dan GPS mendapat 20 lebih kerusi selain GRS 8 kerusi dan ada baki kerusi dimenangi lain-lain parti.

Ketika sidang akhbar tersebut, Muhyiddin mendakwa beliau mendapat surat daripada pihak Istana Negara tanpa mendedahkan butirannya.

Sewaktu penyokong PN melaung-laungkan kata-kata tolak Zahid berulang kali sebagai tanda tidak mahu kerjasama dengan BN, Ahli Parlimen Pagoh itu mengatakan pihaknya masih tidak tahu bakal bekerjasama dengan siapa, sekali gus seolah-olah memberi isyarat kepada penyokong untuk tidak terus melaung-laungkan kata-kata tersebut.

Sehingga kini, bukan hanya PN tetapi PH juga masih mencari-cari siapa yang bakal menjadi rakan kongsi dalam kerajaan baharu mereka.

Terbukti sehingga kini baik PN mahupun PH seakan mengharapkan BN sudi bekerjasama dengan mereka. Pasda masa sama, GPS pula memilih untuk tengok dan lihat dengan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Istana Negara.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila BN menolak untuk menyertai mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan. Mungkin senario ini berubah apabila Yang Dipertuan Agong dikhabarkan akan menemui 30 Ahli Parlimen BN esok.

Banyak pendapat menyatakan pendirian BN menjadi pembangkang merupakan langkah bijak untuk kembali memulihkan imej UMNO yang tercalar apabila dilihat sebagai kelompok yang bergelut dengan rasuah dan juga tamakkan kuasa.

Sebagai pemerhati politik sejak 37 tahun lalu, kesemua pihak sewajarnya menumpukan kepada memastikan keabsahan kerajaan yang baru tidak dipertikai walau apa bentuk sekali pun.

Semua pemimpin politik perlu berjiwa besar dan menerima keputusan Yang Dipertuan Agong demi kelangsungan pentadbiran negara dan sistem demokrasi untuk lima tahun akan datang.

Harus diingat, ketiga-tiga blok parti tidak mempunyai majoriti mudah iaitu 112 kerusi, itu kata kuncinya yang menyebabkan situasi menjadi ‘tergantung’.

BN tidak menang semua dan tidak kalah semua, begitu juga PN dan PH.

Kepada ahli UMNO mahupun PH dan PN, fahamilah bahawa kempen Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) sudah berakhir dan kini saat getir untuk mewujudkan kerajaan yang stabil.

Rakyat sudah membuat keputusan, BN ditolak tetapi baik PH mahupun PN tetap memerlukan sokongan parti 30 kerusi tersebut.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply