KUALA LUMPUR — Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa mempunyai akuan berkanun daripada 115 Ahli Parlimen menolak cadangan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan cadangan itu tetapi PN memaklumkan tidak mahu bekerjasama dengan PH, kerana itu menjadi prinsip gabungan terbabit sejak dulu.

Muhyiddin berkata, beliau diminta menandatangani satu dokumen berhubung cadangan itu, namun beliau menulis nota menyatakan tidak bersetuju terhadap cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan di antrara PN dan PH.

“Tuanku mencadangkan supaya kita (PN) bekerjasama dengan PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, tetapi kami telah bincang perkara itu sejak awal lagi kami tidak akan bekerjasama dengan PH.

Itu adalah pendirian parti kita (PN) sejak dulu sampai ke hari ini,” katanya dalam sidang media di sini .

Tegas Muhyiddin lagi, walau atas tujuan apa sekali pun, pihaknya dan PN tetap tidak akan bersetuju terhadap cadangan menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama PH.

“Saya diminta menandatangani dokumen jika kami bersetuju, saya ada turunkan tanda tangan tetapi saya menulis bahawa kami tidak bersetuju,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selama 45 minit, mulai 4.30 petang bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin berkata, PN sudah menyerahkan dokumen mengandungi akuan berkanun membabitkan 115 Ahli Parlimen kepada Istana Negara, semalam.

Katanya, dokumen itu dihantar secara dalam talian dan pihaknya juga sudah menerima akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebab itu, kami yakin kami dapat membentuk kerajaan tapi maklumlah bila saya menghadap tadi, dikatakan ini tidak cukup.

“Saya tidak tahu apakah sebab di sebalik itu tapi buktinya ada di sini,” katanya sambil mengemukakan dokumen yang dihantar kepada Istana Negara itu.

Sementara itu, difahamkan, mesyuarat Dewan Tertinggi BN diadakan sekali lagi malam ini, selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan 30 Ahli Parlimen gabungan itu menghadap baginda esok bagi membolehkan baginda membuat keputusan melantik Perdana Menteri ke-10.

Terdahulu, Ahli Parlimen BN dilaporkan selesai bermesyuarat pagi semalam, membincangkan isu pembentukan kerajaan dan calon Perdana Menteri Ke-10, sama ada menyokong PH, PN atau menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

Beberapa Ahli Parlimen yang diminta mengulas hasil pertemuan lebih sejam itu bagaimanapun menutup mulut ketika ditanya jika ada calon Perdana Menteri diputuskan untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum jam 2 petang tadi.

Pada PRU15 lalu, PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi dengan PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, masing-masing tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. — BebasNews

Leave a Reply