FACEBOOK Terengganu FC menyiarkan permintaan maaf kepada Selangor FC atas kekecohan yang dicetuskan para penyokong tuan rumah di luar stadium, semalam. – Foto TFC

POLIS Terengganu menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana terbabit melontar batu dan objek keras ke arah bas pasukan Selangor FC selepas perlawanan separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia menentang Terengganu FC, semalam yang menyebabkan kerosakan pada bahagian cermin tingkap dan badan kenderaan itu.

Ketua Polis Terengganu, Deputi Komisioner Datuk Rohaimi Md. Isa (gambar bawah) berkata, lelaki itu ditahan oleh Team Cantas polis ketika beberapa kumpulan melakukan tindakan itu terhadap bas pasukan Selangor FC yang sedang bergerak balik ke hotel penginapan mereka sambil diiringi pihak polis.

“Lelaki terbabit, berasal dari Manir, Kuala Terengganu.

“Insiden kekecohan oleh para penyokong Terengganu FC berlaku kira-kira pukul 11.30 malam yang bermula apabila lebih kurang 300 penyokong pasukan itu mula berkumpul di kawasan Gate C di luar Stadium (Sultan Mizan, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu) iaitu laluan keluar penyokong-penyokong Selangor FC,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Satu laporan polis juga dibuat pihak pengurusan Selangor FC dengan kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (melakukan khianat).

Walau bagaimanapun Rohaimi berkata, kesemua bas penyokong Selangor FC yang diiringi polis, telah selamat memasuki laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2.

Terengganu FC memenangi perlawanan itu 1-0 namun Selangor FC tetap layak ke perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini dengan keputusan terkumpul 3-2 selepas menang 3-1 dalam perlawanan pertama di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Rabu lalu.

“Buat masa ini, polis juga telah menggerakkan pasukan khas untuk mengesan lain-lain suspek yang terlibat.

“Kami tidak akan biarkan individu-individu ini terus mencemarkan nama baik kelab penyokong Terengganu FC dan negeri Terengganu,” katanya.

Polis tegas Rohaimi, memberi amaran dan peringatan kepada penyokong-penyokong agar tidak menjadikan arena sukan ini tempat untuk mengganggu-gugat ketenteraman awam.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya. — BebasNews

TERENGGANU FC (jersi putih hitam) menang separuh akhir kedua tetapi tetap tersingkir daripada perebutan Piala Malaysia dengan agregat 3-2 kepada Selangor FC. – Foto TFC

Leave a Reply