YANG di-Pertuan Agong dan beberapa Raja Melayu yang menghadiri mesyuarat Majlis Raja Melayu Ke-259 di Istana Negara, Jun lalu. – Foto IN
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitah perkenan untuk Istana Negara, Kuala Lumpur menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di situ esok bagi mendapatkan
pandangan dalam membuat keputusan melantik seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pandangan Raja-raja Melayu dalam perbincangan itu bakal membolehkan baginda membuat keputusan tersebut demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.
“Seri Paduka menitah perkenan Istana Negara menganjurkan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu susulan daripada sesi-sesi menghadap hari ini (wakil-wakil Barisan Nasional – BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berasingan di Istana Negara, pagi
ini.
“Sesi-sesi ini ialah lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) secara berasingan bermula pada pukul 4.30 petang semalam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Fadil menambah, sesi-sesi berkenaan juga merupakan susulan hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri ke-10 yang telah dimaklumkan ketua-ketua parti politik dan gabungan parti mereka kepada Istana Negara, semalam yang didapati tiada Ahli Dewan
Rakyat mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik menyandang jawatan itu.
Proses tersebut katanya, selaras Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan supaya Seri Paduka dapat membuat keputusan bagi melantik Perdana Menteri yang pada hemat baginda, mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqamah dan bertenang sehingga proses untuk membentuk kerajaan baharu selesai.
“Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat dan teliti.
“Rakyat telah pun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah kepada wakil-wakil rakyat untuk mencari penyelesaian bagi menguraikan kemelut yang membelenggu rakyat,” titah baginda.
Seri Paduka seterusnya mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan negara yang tercinta ini. — BebasNews


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.