V. Ruventhiran (kiri) menyahut panggilan kem latihan pusat negara bagi menghadapi Piala AFF, bulan depan tetapi Akhyar Rashid menarik diri. – Foto FAM

SERGIO Aguero, penyerang naturalisasi kelahiran Argentina harapan baharu Harimau Malaya yang tidak lagi memanggil Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi. – Foto SRP

HARIMAU Malaya bakal menghadapi dua perlawanan persahabatan dan Piala AFF 2022, bulan depan tanpa 11 pemain Harimau Selatan atau Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang antaranya memberikan alasan urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.

Memandangkan kesemua perlawanan pada 9 dan 14 Disember serta Piala AFF dari 20 Disember hingga 16 Januari 2023 dijadualkan di luar jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mereka masih berhak mendapat ‘pelepasan istimewa’ itu daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mereka ialah Shahrul Saad, La’Vere Lawrence Corbin-Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Nathaniel Shio dan Natxo Insa.

Walau bagaimanapun hanya sayap kanan, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah Usman daripada JDT FC yang akan menyahut panggilan kem latihan pusat negara kendalian warga Korea Selatan, Kim Pan-gon ini mulai Selasa ini.

Seorang lagi dalam penarikan diri besar-besaran itu ialah perantara Sri Pahang FC, Nor Azam Azih.

NAZMI FAIZ MANSOR

Siaran media FAM hari ini menyebut, “41 pemain dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya. Selepas perbincangan dan persetujuan bersama dicapai antara FAM, Pan-gon dan kelab-kelab terlibat, 12 pemain itu tidak dapat menyertainya.”

“(Pengecualian mereka) berdasarkan Peraturan Status Perpindahan Pemain FIFA; Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 iaitu kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau pertandingan.

“(Kelab-kelab terbabit) tidak wajib melepaskan pemain yang sama untuk lebih daripada satu pertandingan akhir pasukan wakil ‘A’ setiap tahun dengan pengecualian kepada peraturan ini hanya boleh ditetapkan Majlis FIFA bagi Piala Konfederasi FIFA,” lapor siaran itu.

Baki 29 pemain akan menyertai kem latihan pusat mulai Selasa ini manakala pemain-pemain pasukan perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 iaitu JDT FC dan Selangor FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini diberi kebenaran melapor diri lewat iaitu 5 Disember ini.

Namun menariknya ialah Pan-gon dalam senarai panggilan terbaharu ini, menyelitkan dua pemain naturalisasi Sri Pahang FC, Sergio Aguero dan Lee Tuck yang masing-masing berasal dari Argentina dan England serta pemain warisan Australia-Malaysia, David Rowley.

SAFAWI Rasid (kiri) dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan kembali memperkasa Harimau Malaya seperti mana pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia di Bukit Jalil dan Piala Raja Thailand di Chiang Mai, Jun dan September lalu. – Foto FAM

Turut tersenarai kali pertama ialah perantara Sabah FC berdarah kacukan Malaysia-England, Stuart Wilkin di samping empat muka baharu tempatan iaitu Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Mohd. Nor Hakim Hassan (Selangor FC), Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC) dan Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak United FC).

Kembali untuk cuba dipertaruhkan ke Piala AFF ialah Akram Mahinan (Kuala Lumpur City) dan Faiz Nasir (Terengganu FC) yang kali terakhir bersama Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan antarabangsa tahap 1 menentang Uzbekistan di Amman, Oktober 2021 dan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tiga tahun lalu.

Pan-gon masih bertuah kerana mampu mengekalkan segelintir tonggak pasukan yang layak ke Piala Asia, Jun lalu seperti Faisal Halim, Ahmad Khuzaimi Piee, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Darren Lok dan V. Ruventhiran malah Dion-Johan Cools yang berpangkalan di kelab Republik Czech, FK Jablonec.

Malaysia akan menentang Kemboja dan Maldives dalam perlawanan persahabatan antarabangsa tahap 1 pada 9 dan 14 Disember ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Lawan skuad Pan-gon dalam Kumpulan B Piala AFF ialah Myanmar di Yangon (21 Disember ini), Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura (Bukit Jalil, 3 Januari 2023).

KIM Pan-gon (kiri) seperti kurang berminat dengan Farizal Marlias lagi sejak kalah kepada Bahrain 2-1 dalam Kelayakan Piala Asia di Bukit Jalil, Jun lalu sehingga tiada nama penjaga gol utama JDT FC ini dalam senarai terbaharu, hari ini. – Foto FAM

SKUAD PELATIH NEGARA: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Azri Ghani, Rahadiazli Rahalim (penjaga gol), Dominic Tan, Dion-Johan Cools, Ahmad Khuzaimi Piee, Azam Azmi Murad, Sharul Nazeem Zulpakar, Declan Lambert, Quentin Cheng, V. Ruventhiran, Fazly Mazlan (benteng), Shamie Iszuan Amin, Brendan Gan, Mukhairi Ajmal Mahadi, Stuart Wilkin, Akram Mahinan, M. Kogileswaran Raj, David Rowley, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Faiz Nasir (perantara), Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah Usman, Faisal Halim, Lee Tuck (sayap), Mohd. Nor Hakim Hassan, Sergio Aguero, Darren Lok, Haqimi Azim Rosli (penyerang).

Senarai bersedia (jika kecederaan dan masalah lain): Shahrul Nizam Ros Hasni, Alif Zakaria, Nik Sharif Haseefy Lazim, Shahrel Fikri Fauzi, Irfan Zakaria, Nicholas Swirad. — BebasNews

LEE TUCK

Leave a Reply