HARI ini hanya faktor Perlembagaan Persekutuan, prinsip demokrasi universal, dan amalan politik inklusif sahaja yang kelihatannya mendominasikan pelbagai wacana mengenai pembentukan kerajaan baharu Malaysia selepas Pilihan Raya Umum 15 (PRU15).

Pelbagai komponen keselamatan nasional, konsep bangsa teras, dan realiti demografi Malaysia yang mendefinisikan sektor keselamatan politik, keselamatan jati diri, dan keselamatan ekonomi umat Peribumi, Melayu dan Islam pula seolah-olah diremehkan.

Ini kerana segolongan kita seolah-olah gagal untuk menyedari bahawa jati diri sesetengah gabungan politik yang memenangi PRU15 adalah tidak serasi dengan beberapa komponen keselamatan nasional, faktor realiti demografi, dan konsep bangsa teras Malaysia.

Tiga faktor ini amat penting untuk dititikberatkan oleh semua pihak yang terlibat dalam pembentukan kerajaan Malaysia yang baharu kerana umat Peribumi, Melayu dan Islam merupakan kelompok yang paling besar di negara kita.

Jati diri sesetengah gabungan politik terbabit juga tidak serasi dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan serta beberapa lagi elemen jati diri nasional Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dari perspektif keselamatan nasional, jati diri tersebut pula seolah-olah meminggarkan status umat Peribumi, Melayu dan Islam selaku bangsa teras di Malaysia yang berasal daripada Wilayah Nusantara atau Dunia Melayu.

Elemen jati diri gabungan politik berkenaan juga telah menyumbang kepada kepincangan dan kebokrokan Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang memerintah Malaysia selama 22 bulan selepas PRU14.

Ia juga menyebabkan BERSATU terpaksa memutuskan ikatan politiknya dengan PH untuk membentuk Kerajaan Perikatan Nasional yang dipercayai lebih sesuai dengan faktor keselamatan, bangsa teras dan realiti demografi Malaysia.

Khususnya, setelah BERSATU mendakwa amat sukar untuk ia melaksanakan pelbagai agenda Melayu dan Islam di bawah Pentadbiran PH.

Perincian mengenai kepincangan dan keburukan PH ini terkandung dalam buku Mission incompatible: the fall of Pakatan Harapan a security perspective tulisan Ruhanie Ahmad (2022) yang terbit sebulan yang lalu.

Lantaran itu, elemen keselamatan nasional, komponen sektoralnya, konsep bangsa teras, dan realiti demografi Malaysia perlu dijadikan faktor utama dalam pembentukan kerajaan Malaysia yang baharu akibat kedudukan Parlimen yang tergantung sekarang.

Kerajaan Malaysia yang baharu perlu mengambil kira faktor di atas demi keselamatan, kemakmuran dan perpaduan nasional di hari mendatang.

Jika faktor keselamatan, realiti demografi dan hakikat bangsa teras ini tidak dititikberatkan dalam pembentukan kerajaan Malaysia yang baharu, besar kemungkinan keresahan rakyat Malaysia super-majoriti dan polemik mengenai jati diri nasional boleh berulang seperti di era Pentadbiran PH selepas PRU14.

Justeru, seluruh pihak yang terlibat dalam proses pembentukan kerajaan Malaysia yang baharu mesti menginsafi faktor di atas untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang boleh mengancam keselamatan politik, keselamatan jati diri, keselamatan ekonomi dan keselamatan nasional Malaysia seluruhnya.

Dalam konteks ini, jangan sekali-kali kita sempitkan naritif serta hujah kita hanya kepada soal prinsip demokrasi, inklusiviti, meritokrasi, atau kesamarataan total di Malaysia yang majmuk.

Kita perlu mengiktiraf, kemajmukan Malaysia mestilah berpaksikan kepada faktor realiti demografi nasional dan faktor bangsa teras yang mendefinisikan keselamatan nasional, serta faktor jati diri Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Gabungan politik yang enggan mengiktiraf faktor utama di atas akan gagal mentadbir Malaysia secara stabil.

Ini terbukti dengan keruntuhan Pentadbiran PH selama 22 bulan selepas PRU14.

Ini juga terbukti dengan pengunduran BERSATU daripada PH akibat naratif yang dihuraikan di atas.

Walaupun BERSATU telah dipropagandakan sebagai pengkhianat akibat tindakannya meninggalkan PH, soal pengkhianatan ini akan terhapus jika rakyat Malaysia sudi mengimbas kembali apa yang telah dilakukan atau disuarakan oleh beberapa Menteri serta pemimpin PH sebaik sahaja mereka berkuasa.

Kesimpulannya, apa jua keputusan mengenai kerajaan baharu Malaysia yang akan dibentuk, jangan sekali-kali diketepikan tiga faktor penting yang dihuraikan di atas.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply