Oleh Ani Awang

IPOH — Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan senarai portftvolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas pembentukan kerajaan gabungan di negeri itu.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan memegang portfolio Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC.

ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun memegang portfolio, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan.

ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam.

ADUN Sungkai, A Sivanesan memegang Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India.

ADUN Jalong, Loh Sze Yee menyandang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor.

ADUN Temengor, Salbiah Mohamed memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan.

ADUN Aulong, Teh Kok Lim memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

ADUN Teja Sandrea Ng Shy Ching yang diumumkan protfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

ADUN Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi Helmi memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO.

ADUN Pasir Bedamar, Woo Kah Leong sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina.

Saarani mengumumkan senarai portfolio tersebut di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini hari ini.

Saarani berkata, barisan Exco yang dilantik adalah gabungan di antara pemimpin muda dan yang berpengalaman.

“Gabungan pemimpin muda dan berpengalaman itu kerana mereka pernah menjadi Exco sebelum ini” katanya.

Saarani berkata, mesyuarat yang pertama kali itu diadakan bersetuju Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan diadakan pada 19 Disember depan untuk pembentangan Bajet 2023.

Pada Selasa, 10 ADUN yang terdiri daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Perak, sebelum pembubaran DUN pada 17 Oktober lalu, mempunyai 10 Exco di bawah pimpinan Saarani yang komposisinya membabitkan lima ADUN daripada BN, Pas (dua) dan Bersatu (tiga). – BebasNews

Leave a Reply