PERSATUAN Cina Malaysia (MCA) percaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi layak memimpin Barisan Nasional (BN) sebagai Pengerusi dan sekali lagi menggesa beliau meletakkan jawatan.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, partinya turut mahukan beliau digantikan oleh Datuk Seri Mohamad Hassan seperti yang dicadangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN, semalam.
“Saya menjawab gambar tular dalam media sosial yang memaparkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Datuk Seri Zahid yang mendakwa BN menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Saya ingin menekankan bahawa tuntutan-tuntutan dalam surat itu tidak sejajar sepenuhnya dengan keputusan Dewan Tertinggi BN dalam kedua-dua mesyuarat pada 22 November,” kata Sin Woon dalam kenyataan media menerusi Facebook MCA, hari ini.
Dalam kedua-dua mesyuarat itu jelasnya, Dewan Tertinggi BN telah memutuskan bahawa BN tidak akan menyokong sesiapa sebagai Perdana Menteri pada ketika ini.
“Dalam mesyuarat malam tadi, MCA dan parti komponen BN yang lain mempersoalkan mengapa Datuk Seri Zahid telah menentang dan melanggar resolusi BN serta dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Seri Paduka.
“Pada mulanya, beliau menafikan tetapi mengakui selepas itu apabila bukti ditunjukkan oleh seorang ahli dewan,” jelasnya.
Zahid menurut MCA, telah menentang keputusan bersama Dewan Tertinggi BN semalam dan tidak menyampaikan resolusi BN dengan betul kepada Yang di-Pertuan Agong. — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.