AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (tengah) bersama-sama Raja-raja Melayu dalam Perbincangan Khas di Istana Negara. – Foto IN

ANWAR Ibrahim ketika di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur. – Foto AI

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pelantikan beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun itu selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40 (2) (a) dan 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka memberi perkenan untuk melantiknya setelah memperhalusi titah pandangan Raja-raja Melayu pada sesi Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara yang bermula 11 pagi ini.

“Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-raja Melayu proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu susulan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu,” kata Fadil dalam kenyataan media, hari ini.

Proses seterusnya menurut beliau ialah Istiadat Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 5 petang ini di Istana Negara.

“Seri Paduka turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara,” titah baginda dalam kenyataan itu.

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (kiri) dan anakandanya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga Pemangku Raja Pahang. – Foto IN

Agong juga mengingatkan semua pihak bahawa yang menang, tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua justeru bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, mereka diseru menghulurkan tangan antara satu dengan lain bagi merapatkan semula saf semua Ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.

“Negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin ialah pemegang amanahnya dan perlu dijaga kerana bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan persaudaraan dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” titah Seri Paduka.

Baginda juga bertitah, Raja-raja Melayu turut menyokong pendiriannya bagi pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan PRU15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian mendalam.

“Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah dan rakyat diseru agar terus beristiqamah dan bertenang dan bersama mendoakan negara ini sentiasa diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah serta dijauhi daripada sebarang bencana dan musibah.

“Beta turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan Keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang,” titahnya. — BebasNews

YANG di-Pertuan Agong (tengah) dan Raja-raja Melayu dalam Perbincangan Khas mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara. – Foto IN

Leave a Reply