Mohammad Shatar (duduk, tengah) bersama ahli mesyuarat ASAIHL Malaysia komited untuk tingkat imej pengajian tinggi negara.

PUTRAJAYA — Association of Southeast Asian Institutes of Higher Learning (ASAIHL) Malaysia komited meningkatkan imej pengajian tinggi negara ini ke persada global menerusi penawaran pendidikan fleksibel.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, semua 23 intitusi pendidikan tinggi (IPT) yang bernaung di bawah ASAIHL Malaysia akan menggembeleng tenaga bagi menaikkan nama Malaysia dalam dunia pengajian tinggi antarabangsa.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, ASAIHL Malaysia akan meneroka cara untuk menggalakkan ahlinya menawarkan pendidikan fleksibel terutama menerusi program micro-credentials dan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) yang dilihat menjadi kaedah pengajian masa depan.

“Kita akan bekerja keras sebagai satu pasukan dalam ASAIHL Malaysia dengan menjalankan pelbagai aktiviti membabitkan kerjasama dalam kalangan ahli supaya inisiatif dijalankan lebih didengari di peringkat nasional mahupun global,” katanya selepas Mesyuarat ASAIHL Malaysia, di sini, hari ini.

Syed Jalaludin (dua dari kanan) ketika menyampaikan ucapan alu-aluan mesyuarat dan berkongsi pengalamannya bersama ASAIHL di peringkat global.

Hadir sama, Pengasas ASAIHL, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim;  Presiden Pengasas Asia e University, Prof. Dato’ Dr. Ansary Ahmed; Naib Canselor AeU, Prof. Tan Sri Dr Nik Mustapha Raja Abdullah; Naib Canselor INTI International University, Dr. Joseph Lee Yu Kuang dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohammad Kassim.

Penubuhan ASAIHL membolehkan institusi ahlinya membentuk identiti serantau secara kolektif, mencapai kesaksamaan antarabangsa dalam pengajaran, menggalakkan penyelidikan dan perkhidmatan awam serta membolehkan institusi ahli menyumbang kepada kekuatan negara.

Ditubuhkan pada Januari 1955, ASAIHL yang menjadi satu daripada organisasi pengajian tertua di Asia Tenggara menyediakan peluang untuk pembangunan akademik, bantuan kepada institusi ahli dalam pengambilan, penempatan fakulti dan kakitangan, pertukaran profesor dan pelajar, pembangunan projek kerjasama khusus, perkhidmatan perundingan, penyatuan antara badan serantau dan antarabangsa, jaminan untuk maklumat pembangunan dan pengiktirafan sesama ahli.

Sementara itu,  Syed Jalaludin dalam ucapannya berkata, ASAIHL Malaysia perlu dijadikan platform dalam kalangan ahlinya dalam usaha menjadikan negara in sebagai hab pendidikan tinggi serantau.

“Persatuan dalam bidang pengajian tinggi bukanlah sesuatu yang baharu, malah di negara maju seperti Amerika Syarikat, mereka mempunyai Ivy League yang mengumpulkan lapan IPT hebat dalam pelbagai bidang,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply