BAGI peminat Kumpulan Wings jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan mereka sempena Petaling Jaya International Folklore Festival (PJ FOLKLORE) 2022 kali ke-7 pada 3 Disember di Dataran Petaling Jaya.

Konsert percuma Wings-Ceritera Rakyat ini antara salah satu program yang terdapat dalam Festival PJ FOLKLORE anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang akan berlangsung pada 28 November hingga 4 Disember 2022 bertempat di Dataran Petaling Jaya dan Pusat Bandar Seksyen 52 Petaling Jaya.

Datuk Bandar MBPJ, Mohamad Azhan Md Amir berkata, Kumpulan Wings dipilih kerana mereka mempunyai penyokong yang besar dan beliau percaya kemeriahan festival ini akan menjadi luar biasa.

“Kekuatan mereka membuatkan kami memilih Kumpulan Wings bagi memeriahkan lagi PJ Folklore 2022 ini. Kami sasarkan lebih 30,000 pengunjung sepanjang program ini berlangsung. PJ Folklore 2022 ini merupakan salah satu usaha bagi mempromosikan Bandar Raya Petaling Jaya sebagai sebagai sebuah Kota Seni dan Destinasi Pelancongan Antarabangsa selain menghidupkan kawasan Seksyen 52.

“Ia juga merupakan usaha sama kami dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), International Council of Organizations of Folklore Festivals and Folk Arts (CIOFF Malaysia) dan Tourism Selangor.”

Mohamad Azhan Md Amir menambah, Festival ini bertujuan memperkenalkan negeri Selangor serta Malaysia sebagai sebuah kota seni dan destinasi pelancongan Antarabangsa.

“Sepanjang festival kami akan ketengahkan kepelbagaian, keunikan, kesenian rakyat dan budaya komuniti tempatan serta persembahan kebudayaan dari 10 buah negeri di Malaysia. Acara antarabangsa pula melibatkan persembahan kebudayaan dan pameran busana tradisional daripada lapan buah negara iaitu Indonesia melibatkan dua kumpulan dari Bandung dan Kalimantan, Korea Selatan, Filipina, Thailand, Mexico, Sri Lanka, Jepun dan Uzbekistan.

“PJ Folklore 2022 melibatkan 31 program secara percuma seperti PJ Fight Night, Pocket Show, Asian Food Festival, Pameran Busana & Jualan Pelbagai, Wayang Kulit (Pok Chu), Dikir Barat -Issey, Persembahan Kebudayaan Antarabangsa, Konsert Wings, Ceritera Rakyat dan lain-lain.”

Menurut Mohamad Azhan,”Selaras dengan blueprint Petaling Jaya pintar, mampan dan berdaya tahun 2030 (pjssr 2030), penganjuran PJ International Foklore festival pada setiap tahun merupakan komitmen berterusan MBPJ meneruskan agenda pembangunan sektor pelancongan di Petaling Jaya dan Malaysia amnya.

“Komitmen berterusan mengangkat martabat budaya, kesenian rakyat, dan membangunkan industri pelancongan melalui penganjuran Festival PJ FOLKLORE telah melayakkan MBPJ dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran kesenian rakyat yang lebih berprestij pada tahun hadapan iaitu 1st Asia Pacific Youth Folklore Festival 2023.

“Pengiktirafan ini secara tidak langsung telah menjadikan MBPJ sekali lagi mencipta sejarah tersendiri dalam bidang pelancongan. Seterusnya mengekalkan statusnya sebagai sebuah kota seni dan destinasi pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa.”

Perasmian PJ FOLKLORE 2022 ini akan disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 3 disember, jam 8.00 malam di Dataran Petaling Jaya. — BebasNews

Leave a Reply