KUALA LUMPUR- Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi telah membuat ketetapan secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional (BN) menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan PN.

“MKT juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu juga, Ahmad Maslan berkata, MKT memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO.

Jelasnya lagi, Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun ini ialah pada 21 hingga 24 Disember depan.-BebasNews

Leave a Reply