Celoteh Kak Feez

ALHAMDULILLAH, selesai sudah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 buat negara tercinta.

Keputusan yang tidak memihak kepada mana-mana parti secara majoriti untuk menjadi pentadbir negara.

Hujungnya Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyarankan kerjasama antara semua parti yang ada bagi membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan. MashaAllah.

Kak Feez menunggu pemilihan dan pengumuman Perdana Menteri ke -10 negara sejak 65 tahun merdeka ini seperti menunggu buah yang tak gugur.

Debaran menyinggah rasa dan gelodak jiwa seperti menanti lahirnya cucu sulung.

Setelah hampir seminggu, barulah rakyat dan negara Malaysia mendapat maklum pemilihan dan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Tambun daripada 222 calon Ahli Parlimen yang bertanding pada PRU kali ini sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Kun Fa Ya Kun. Tiada yang mustahil apabila Allah SWT mengkehendaki sesuatu itu berlaku. Percayalah bahawa setiap yang berlaku itu terkandung hikmahnya jika kita melihat secara positif dan begitulah sebaliknya.

Perdana Menteri ke-10 negara ini juga bukan calang-calang orangnya. Walaupun seorang bekas banduan (maaf) auranya untuk menjadi seorang pemimpin negara memang tidak dapat disangkal.

Beliau meraih majoriti undian lebih dari 3,500 di Parlimen Tambun.

Anwar memulakan karier politiknya pada tahun 1982. Beliau merupakan Mantan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, mantan Menteri Pertanian, mantan Menteri Pelajaran, mantan Menteri Kewangan dan merupakan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1993 hingga 1998. Beliau begitu istiqomah dalam perjuangannya secara peribadi sejak tahun 1998 untuk menjadi Perdana Menteri negara ini.

Doanya dan juga doa dari para penyokong kuatnya dimakbulkan Allah kini. Maka bersedialah hamba Allah bernama Anwar Ibrahim ini untuk menggalas tanggungjawab dan mendokong amanah sebagai Perdana Menteri yang bukan sahaja dituntut rakyat tetapi juga dituntut dan akan dinilai oleh Yang Maha Pencipta di akhirnya nanti.

Sebagai rakyat, Kak Feez memegang kepada setiap kata dan janjinya yang sering ditaburkan di sepanjang tempoh beliau sebagai Ketua Pembangkang dan juga ketika memberikan ucapan dan hujahannya semasa berkempen. Tidak kira sama ada ia manifesto atau kata janji di dalam PRU-PRU yang lepas, sebagai rakyat, Kak Feez percaya insan bernama Anwar Ibrahim ini mampu mengotakan setiap yang dikata dan penuhi apa yang dijanji lebih-lebih lagi kini beliau adalah Ketua Pentadbir negara. Tiada lagi alasan.

Menjunjung titah ke bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong, tidak semua yang menang itu menang dan tidak semua yang kalah itu kalah.

Kata-kata ini sangat mendalam maknanya justeru hanya yang faham sahaja akan merasa beratnya dan yang tidak faham itu akan merasa ringan semata.

Biduk berlalu kiambang bertaut, carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak, maka tugas Perdana Menteri ke-10 ini sangatlah berat.

Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. Sebagai rakyat, di dalam negara demokrasi, kita menerima keputusan dengan berlapang dada kerana kita sebagai rakyat telah memilih. Pemimpin itulah cerminan rakyatnya. Kini tanggungjawab dan amanah yang digalas dan dijunjung oleh YAB Perdana Menteri untuk memastikan kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian rakyat terjaga dan terpelihara.

Lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Kata itu perlu dikota bukan mainan dibibir sahaja. Lantaran lidah tidak bercabang tetapi lebih tajam dari mata pedang.

Kak Feez tunggu harga petrol diturunkan, tol dimansuhkan dan Perdana Menteri serta Menteri-Menteri negara ini akan menolak semua gaji dan elaun-elaun Menteri.

MasyaAllah tidak tergambar keriangan rakyat marhaen negara ini nanti apabila peruntukan elaun para Menteri dapat diagihkan kepada mereka.

Kak Feez juga percaya, Perdana Menteri Malaysia ke-10 yang lain dari yang lain ini tidak akan melakukan sesuatu yang biasa dilakukan oleh Perdana Menteri yang baru dilantik.

YAB PM ini pasti tidak akan menukar dan menggantikan Ketua Setiausaha Negara, Hakim Negara, Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan sebagainya. Biarlah mereka ini terus berkhidmat sehingga tamat tempoh untuk bersara.

Kami rakyat dah penat dengan perubahan-perubahan drastik yang tidak ada keperluan kepada masa depan kemajuan rakyat jelata. Cukuplah pengorbanan rakyat untuk para ahli politik. Kalian kami pilih untuk berkhidmat kepada kami bukan sebaliknya.

Kami mahukan pemimpin yang condongnya akan menongkat, rebah yang akan menegak. Ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan. Rantau jauh diulangi, rantau dekat di kendana.

Di mana bumi dipijak, disitulah langit dijunjung. Semoga perpaduan terbentuk dari keikhlasan hati dan nurani. Tidak ada pengecualian, ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.

Bersatulah kita demi negara tercinta, Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih. Sakit Sama Mengaduh, Luka Sama Menyiuk.

BebasNews

Leave a Reply