PINTU masuk ke Taman Wetland, Putrajaya di Presint 13.
Oleh A. AMRI

PUTRAJAYA — Equatorial Spitting Cobra atau disebut Ular Senduk Sembur disahkan antara sebahagian fauna yang turut dikesan memang hidup mendiami tasik dan Wetland Putrajaya.

Perkara tersebut dimaklumkan Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi hantaran terbaharu dalam laman sosial rasmi agensi berkenaan semalam menceritakan isu kepelbagaian haiwan di situ.

Kemunculan ular berbisa tersebut merupakan antara sebilangan daripada 22 spesies reptilia yang didaftarkan di kawasan berkenaan selain ada lebih 1,000 morphospesies serangga.

“Sehingga kini, inventori turut sudah berjaya merekodkan penemuan sejumlah 202 spesies burung, 56 spesies ikan, 17 spesies mamalia dan 16 spesies amfibia,” jelas hantaran PPj itu.

Gambar hiasan – Foto Blogspot

Ular tedung tersebut atau nama saintifiknya iaitu Naja sumatrana, banyak ditemui di rantau Asia Tenggara selain turut dikenali oleh penduduk negara ini sebagai Malayan spitting cobra.

Spesies ini yang mula didaftarkan pada 1890 lalu memiliki purata panjang sehingga 1.2 meter tetapi boleh lagi membesar sehingga 1.5 meter dengan kepala yang terbenam atau eliptikal.

Reptilia bersisik punggung licin ini juga dirujuk Golden spitting cobra kerana ada yang berkulit kekuningan seperti emas di utara Semenanjung Malaysia selain warna kelazimannya hitam.

PPj menjelaskan bahawa, secara keseluruhannya, tasik dan Wetland Putrajaya yang seluas 600 hektar itu menjadi aset penting kepada penentuan indeks kepelbagaian biologi setempat.

“Ia turut mengukur paras kesihatan ekosistem bagi perbandaran Putrajaya selain telah diiktiraf sebagai tapak ekohidrologi warisan dunia oleh pihak UNESCO pada 2010,” tambah agensi itu.

Lokasi tersebut merupakan tanah lembab buatan manusia pertama di Malaysia yang meliputi Wetland Park seluas 138 hektar serta kawasan daratan lembab yang keluasan 1,977 hektar.

Antara haiwan yang dapat disaksikan di taman itu ialah memerang, musang, monyet, tupai, kelawar, kura-kura, biawak, cicak besar, rama-rama, pepatung, katak, kumbang dan bangau. — BebasNews

Leave a Reply