LOKASI cadangan tiga pulau buatan (warna kuning) untuk projek PSR yang bakal diwujudkan. - Ihsan kerajaan negeri Pulau Pinang
Oleh A. AMRI

PUTRAJAYA — Bantahan keras dari pelbagai pihak terhadap projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) berbaloi apabila Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) ditolak agensi pusat.

Malahan projek kontroversi mega yang berkeluasan 1,821 hektar itu menerima tamparan hebat apabila.Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak dapat memperakui ulasan awam EIA sebelum ini.

Situasi itu juga mengakibatkan hasrat kerajaan Pulau Pinang mahu menyegerakan rancangan pembangunan pulau buatan berkenaan pada akhir tahun ini terpaksa ditangguhkan sekali lagi.

Ia susulan tindakan tegas JAS meminta ulasan awam berhubung EIA pindaan terhadap projek penebusgunaan tanah laut itu buat kali kedua dan perlu diserah paling lewat 4 Januari 2023.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh agensi itu menerusi laman sosial rasminya kelmarin dan menyatakan pindaan EIA sudah dipamerkan mulai Isnin lalu sehingga 20 Disember depan.

“Orang awam adalah dijemput untuk memberi ulasan dengan mengemukakan maklum balas berdasarkan penelitian berkaitan laporan EIA itu dalam tempoh pameran ditetapkan,” katanya.

Ini merupakan kali kedua penilaian itu ditolak JAS selepas julung kali dibatalkan mahkamah di Pulau Pinang tahun lepas setelah didapati gagal memenuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kes yang diputuskan pada 8 September 2021 lalu itu juga mendapat perhatian luas dari pelbagai badan bukan kerajaan serta didakwa bakal merosakkan teruk alam sekitar pulau tersebut.

Kerajaan negeri namun memberi jaminan PSR yang juga dikenali Penang South Island (PSI) ialah sebahagian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bagi melestarikan imej negeri itu.

Berdasarkan hantaran infografik yang dipaparkan melalui laman sosial JAS, projek ini melibatkan penebusgunaan laut bagi dibina tiga buah pulau buatan selain pembinaan struktur pantai.

Pulau A yang berkeluasan 931 hektar akan disiapkan terlebih dahulu dalam masa sembilan tahun seiring dengan jirannya, Pulau B yang melibatkan penambakan seluas hanya 567 hektar.

Pulau C yang bersaiz paling kecil dengan keluasan 323 hektar pula mampu disiapkan lebih cepat dalam lima tahun manakala jarak tiga pulau tersebut dari Georgetown ialah 22 kilometer.

Menurut JAS, projek digerakkan sendiri kerajaan Pulau Pinang itu akan memberi impak positif dan negatif terhadap alam sekeliling tetapi langkah mitigasi diperincikan dalam laporan EIA.

“Penilaian kali ini tertakluk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang melibatkan Jadual Pertama Aktiviti 15 – Pengorekan dan Jadual Kedua Aktiviti 7 – Penebusgunaan Tanah,” tambahnya.

Ringkasan eksekutif dan laporan EIA bagi projek ini boleh diperoleh daripada Perpustakaan JAS di ibu pejabatnya di Aras 1, Podium 3, Wisma Sumber Asli, Persiaran Perdana, Presint 4.

Dokumen ini juga ada disediakan pihak JAS Pulau Pinang di Aras Bawah, Wisma Persekutuan, Kepala Batas selain Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Aras 3, Komtar, Georgetown.

Orang awam turut boleh menghubungi rakan pelaksana projek, SRS Consortium di Bayan Lepas, Pulau Pinang atau jururunding EIA, Dr. Nik & Associates di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. — BebasNews

Leave a Reply