PUTRAJAYA — Kerajaan Perpaduan terus mendapat penyertaan parti politik apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan kesediaan untuk bersama-sama kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Perdana Menteri ketika sidang media selepas memasuki pejabatnya pagi ini, berkata beliau dimaklumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, bahawa GRS secara rasmi menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Ada satu hal yang berkaitan mengenai kedudukan Kerajaan Perpaduan ini. Hajiji menghubungi saya semalam menyatakan bahawa GRS secara rasmi akan menyertai.
Ini bermakna kekuatan induk kita termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS, bermakna kita sudah ada ‘hour’ atau sudah mencapai dua pertiga Ahli Parlimen yang akan mengukuhkan kestabilan politik negara,” katanya.

GRS membabitkan Bersatu, PBS, STAR, SAPP dan USNO.

Mengulas dua pertiga Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan itu, Anwar berkata keadaan itu membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha mengangkat martabat negara, selain mengukuhkan ekonomi dengan hasrat membela nasib rakyat.

Ketika ini Kerajaan Perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), GPS, GRS, Warisan, Muda dan Ahli Parlimen bebas. — BebasNews

Leave a Reply