PEMINAT dan pencinta muzik jazz jangan lepaskan peluang menyaksikan persembahan artis jazz tempatan dan antarabangsa yang akan membuat persembahan sempena Festival KL River Jazz 2022. Persembahan percuma ini akan berlangsung di Guiding Gallery, River of Life (ROL) pada 26 – 27 November 2022, mulai jam 3 petang sehingga 12 malam.

Festival anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Jabatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini turut mendapat kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia telah mengambil inisiatif bagi menganjurkan Festival KL River Jazz 2022

Ketua Unit Kebudayaan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohamed Fauzi Haji Ahmad berkata, penganjuran festival ini sebagai salah satu inisiatif untuk membantu menghidupkan dan merancakkan semula sektor industri pelancongan di Kuala Lumpur setelah industri pelancongan terjejas teruk akibat pendemik Covid-19.

“Lokasi festival ini juga merupakan salah satu lokasi tumpuan pelancongan di Kuala Lumpur. Para penonton bakal menikmati persembahan berlatar belakangkan pemandangan indah… titik pertemuan antara dua sungai iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak yang merupakan lokasi ikonik Kuala Lumpur. Projek ROL ini telah diiktiraf sebagai salah satu daripada “World’s Ten Best Waterfront District” oleh media antarabangsa The Independent UK.

Sore band dari Indonesia

“Objektif kedua penganjuran festival ini adalah untuk mengaktifkan semula aktiviti-aktiviti persembahan yang melibatkan artis dalam nuansa Jazz tempatan dan dalam masa yang sama turut mempromosikan muzik genre Jazz sebagai hiburan baru yang unik kepada warga Kuala Lumpur khususnya para pelancong.”

Sementara itu Atilia ketika ditemui di majlis sidang akhbar mengumumkan Festival KL River Jazz menambah, yang dirinya tidak sabar untuk berduet bersama kumpulan popular Sore dari Indonesia.

“Kalau peminat Indie tahu kumpulan Sore datang, sudah pasti mereka berebut-rebut nak tengok show ini. Tambah pula show ini percuma. Saya juga mungkin akan berduet dengan Sore lagu duet kami iaitu, Silly Little Thing,” kata Atilia yang juga akan membuat persembahan selama 45 minit bersama kumpulannya.

Atilia

Selain Kumpulan Sore dan Atilia, Festival KL River Jazz 2022 akan menggabungkan para artis Jazz terkenal antarabangsa seperti Mike Price (Australia) Joe Rosenberg (USA) dan para maestro Jazz tempatan seperti Steve Thornton, Michael Veerapen, Dasha Logan, Junji Delfino, Lewis Pragasam, Fly Halizor, John Thomas, Rozhan Rahman, Eric Li, Zahid Ahmad, Razak Rahman, Jazztified, RT2, Attap Jazztrod, Rhythm & Sax dan ramai lagi.

— BebasNews

Leave a Reply