SETELAH 31 kali Festival Filem Malaysia (FFM) diadakan, buat pertama kali Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman diwujudkan tahun ini sebagai menghargai bakat dan sumbangan mereka dalam industri perfileman.

Melalui Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) bertemakan “Filem Kita Citra Kita” Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mewujudkan kategori berkenaan yang merupakan dua diantara empat kategori baru sempena festival kali ini.

Dua lagi anugerah baru yang dipertandingkan kali ini ialah Anugerah Filem Pendek dan Anugerah Khas Juri Filem Antarabangsa menjadikan 31 kategori yang dipertandingkan kali ini. Kemuncak FFM32 akan berlangsung pada 2 Disember ini, di Encore, Melaka dan akan disiarkan secara langsung di RTM pada jam 9.00 malam. Ini adalah kali kedua FFM diadakan di Melaka dengan yang pertama FFM7 pada tahun 1987.

Adalah difahamkan empat seniwati dan dua seniman yang pernah mencipta nama dan populariti pada zaman kegemilangan filem Melayu di Studio Jalan Ampas dicalonkan bagi kategori berkenaan.

Mereka adalah Primadona Seniwati Datuk Dr. Sarimah Ahmad, Seniwati Datuk Seri Maria Menado, Seniwati Zaiton dan Seniwati Datuk Rosnani Jamil.

Sementara pelakon lelaki adalah Seniman Mat Sentol dan Seniman Wahid Satay.

Kriteria pencalonan mereka antaranya berdasarkan penghayatan dan watak utama dalam setiap filem yang dilakonkan, pencapaian dan pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa dan kepelbagaian sumbangan dalam bidang lakonan dan karya mereka yang memberi faedah kepada para peminat.

Sebanyak 35 filem cereka tempatan yang mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF) dari tarikh 15 Julai 2021 hingga 30 September 2022 menyertai festival kali ini dengan 29 filem cereka (pawagam), enam filem cereka digital dan 10 filem pendek.

Antara filem Cereka Pawagam ialah “Barbarian Invasion” (Mandarin) terbitan Da Huang Pictures Sdn. Bhd., “Mr. Peyii” (Tamil) terbitan Unison Production Sdn. Bhd., “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” (Studio Kembara Sdn. Bhd.), “The Assistant” (Act 2 Pictures Sdn. Bhd.), “Undercover Rascal 2 (Tamil) terbitan Megamovie Sdn. Bhd., “Air Force The Movie: Selagi Bernyawa (Multimedia Filem Production Sdn. Bhd.) dan “Jerangkung Dalam Almari” (Akid Production Sdn. Bhd.).

Enam filem cereka digital yang turut bertanding antaranya “Seandainya Kau Tiada” (Zeel Production Sdn. Bhd.), “Selamat Hari Tak Jadi” (Multimedia Film Production Sdn. Bhd.), dan “Hantu Kuat Ketawa” (MW Entertainment Sdn. Bhd.)

Sementara 10 Filem Pendek antaranya “The Pillar Strength” (Funcel Sdn. Bhd.), “The Present Man” (BM/ Kantonis) terbitan HUG Pictures Sdn. Bhd., “Penmai” (Tamil) terbitan Jaasg (M) Sdn. Bhd., dan “Kampung Malar” (BM/Mandarin/Tamil) terbitan Measat Broadcast Network System Sdn. Bhd.

Sembilan Filem Antarabangsa pula antaranya “Parde Mein Rehne Do” (Urdu) terbitan Showcase Films/ Pakistan, “Kamu Tidur Sendiri” terbitan PT. Minc Pictures (Indonesia), “Alone” (Mandarin) terbitan Enjoy TV Holdings Sdn. Bhd. (Taiwan/Malaysia), “Emad And Tuba’s Romanticm (bahasa Parsi) terbitan Farabi Cinema Foundation (Iran) dan “Mediterranean” (bahasa Parsi / animasi) terbitan Soureh Cinema Organization (Iran).

Selain empat anugerah baharu yang menjadi tanda-tanya siapakah pemenangnya turut menjadi perhatian pada setiap kali festival dan tidak ketinggalan pada FFM32 ialah filem apakah yang menduduki kategori ‘Top Five’ diantara 29 Filem Cereka Pawagam yang dipertandingkan.

Melihat daripada senarai filem berkenaan tiga daripada lima filem yang dijangkakan layak menduduki senarai ‘Top Five’ adalah “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Air Force: Selagi Bernyawa dan Abang Long Fadil 3.”

“Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” layak menduduki senarai berkenaan bersandarkan filem genre kenegaraan yang memaparkan citra budaya Melayu dan semangat juang menentang penjajah British. Filem arahan Syamsul Yusof dengan kos penerbitan sebanyak RM8 juta mencatatkan sejarah dengan kutipan tiket sebanyak RM97 juta.

Sementara “Air Force The Movie: Selagi Bernyawa” filem aksi ketenteraan arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See memaparkan kekuatan tentera dan aset peperangan TUDM serta strategi tektikal menumpaskan musuh. Filem ini mencatatkan kutipan tiket sebanyak RM30 juta.

Filem “Abang Long Fadil 3” filem aksi komedi dengan kos penerbitan sebanyak RM6 juta mencatatkan kutipan tiket sebanyak RM25 juta. Filem ini diarahkan oleh Syafiq Yusof.

DR. MD. NASIR IBRAHIM

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim apabila ditanya istimewanya FFM32 dan relevannya Melaka sebagai destinasi FFM32, berkata;

“Istimewanya FFM32 kerana ia diadakan di Melaka dan bukan di sekitar Lembah Kelang. Melaka menjadi pilihan bukan sahaja demi kelainan kerana sebelum ini pernah diadakan di Johor dan Sabah tetapi kerana ia adalah sebuah negeri yang kaya dengan khazanah dan sejarah. Disamping itu, ia juga adalah destinasi pelancongan menarik malah secara tidak langsung mengimbau kembali kerana ia pernah menjadi tuanrumah FFM7 pada tahun 1987.

“Selain itu pada FFM32 ini empat anugerah baru diwujudkan antaranya Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman. Bagi menyuntik elemen antarabangsa Anugerah Khas Juri Filem Antarabangsa turut diperkenalkan dengan mengundang juri-juri dari luar negara untuk menilai kategori yang dipertandingkan.”

Beliau memberitahu sebelum berlanggsung Malam Anugerah FFM32 pelbagai program diatur antaranya tayangan filem dan sesi apresiasi filem, sesi ‘meet and greet’ bersama calon-calon bagi setiap kategori.

Menyentuh mengenai definasi tema FFM32, ‘Filem Kita Citra Kita,’ Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata;

“Filem Kita adalah tafsiran kepada industri perfileman negara yang berdaya saing dan bertaraf global sementara Citra Kita ditafsirkan sebagai penghasilan karya, bakat serta produk berkualiti yang beridentitikan landskap budaya negara yang mampu menjadi komoditi ekonomi di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Filem Malaysia adalah manifestasi jenama produk filem tempatan bermutu tinggi dan berkualiti dengan nilai identiti dan budaya nasional yang melahirkan impak globalisasi merentas sempadan.”

Dr. Md. Nasir Ibrahim juga melahirkan rasa gembira kerana FFM32 mendapat kerjasama padu daripada pelbagai syarikat dalam menjayakan festival kali ini sambil berkata;

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat korporat dan produksi yang memberi sumbangan berbentuk wang lebih daripada RM370,000 sebagai hadiah kepada para pemenang festival ini.”

Antara syarikat yang memberi sumbangan European Wellness Sdn. Bhd., MForce Bike Holdings Sdn. Bhd., Taman Sari Legacy Holdings, Base FX Sdn. Bhd., Mirack Technologies Sdn., CGT Strategi Sdn. Bhd., Current Pictures Sdn. Bhd., Vedu Production Sdn. Bhd., Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., IPSB Technology dan Skop Production Sdn. Bhd.

— BebasNews

Leave a Reply