Gambar ihsan RTM

PETALING JAYA — Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak seharusnya hanya memilih menteri dalam kalangan Ahli Parlimen atau ahli politik yang menyokong pentadbirannya, kata seorang penganalisis.

Jeniri Amir.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, Anwar mesti terbuka untuk memilih teknokrat, ahli akademik dan profesional lain sebagai menteri bagi memastikan Jemaah Menteri yang berkebolehan dan berkesan dibentuk.

“Jemaah Menteri tidak seharusnya dibentuk berdasarkan kuota parti atau terhad kepada ahli politik dan Ahli Parlimen kerana penting untuk mempunyai menteri yang berkelayakan dan berpengalaman.

“Kita memerlukan menteri yang berkaliber tinggi yang mempunyai integriti dan sikap yang betul untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan isu lain yang dihadapi negara,” katanya kepada FMT.

Semalam, Anwar berkata, pelantikan Jemaah Menteri bukanlah ganjaran untuk menyokong kerajaan.

Beliau mahukan menteri yang akan menyokongnya berdasarkan dasar dan komitmennya terhadap tadbir urus yang baik, menangani rasuah dan pemulihan ekonomi, tambahnya.

Jeniri mengulangi kenyataan Presiden MIC SA Vigneswaran, yang berkata Barisan Nasional (BN), yang mana MIC menjadi komponen, tidak sepatutnya menuntut sebarang jawatan menteri dalam pentadbiran Anwar.

Vigneswaran berkata, BN tidak sepatutnya menuntut jawatan kerana ia akan bertentangan dengan prinsip “Tolak Anwar, Tolak DAP” yang dipegangnya sebelum pilihan raya umum.

Jeniri berkata, setiap parti dan gabungan dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar harus mengelak daripada menuntut jawatan dalam Jemaah Menteri, dan perdana menteri perlu diberi kebebasan untuk memilih calon yang paling layak.

Jayum Jawan.

Seorang lagi penganalisis, Jayum Jawan daripada Universiti Putra Malaysia berkata, Anwar mempunyai kelebihan dalam membentuk Jemaah Menteri kerana Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikannya sebagai perdana menteri.

“Anwar tidak perlu melayan tawar-menawar daripada parti kerana beliau mendapat mandat secara langsung daripada Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan,” katanya.

“Mana-mana pemimpin parti yang menyukarkan tugas Anwar berisiko menyinggung perasaan Agong.”

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar dianggotai PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), disertai sokongan daripada Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan calon bebas.

Sumber asal — https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/11/28/pelantikan-jemaah-menteri-tidak-patut-terhad-kepada-ahli-parlimen-ahli-politik-kata-penganalisis/

— BebasNews

Leave a Reply