KUALA LUMPUR — Apabila Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim membuat keputusan untuk menolak menggunakan kenderaan rasmi baharu, sebenarnya ia bukanlah perkara luar biasa kerana perkara yang sama pernah dilakukan oleh Ismail Sabri Yaakob.

Menurut bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, Datuk Ruhaidini Abd Kadir, bekas perdana menteri itu juga pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuk beliau.

“Sepanjang bergelar perdana menteri, Ismail lebih selesa menggunakan kenderaan jenis MPV yang telah digunakan oleh pentadbiran terdahulu.

“Bahkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubahsuai pesawat khas (Perdana 1) bagi kegunaan rasmi perdana menteri,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook bertajuk “Di Sebalik Nama Ismail Sabri”.

Menurut Ruhaidini, Ismail juga terus tinggal di rumah milik sendiri dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana, meskipun kediaman rasmi perdana menteri telah indah diubahsuai.

Anwar sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, tiada pembelian kereta rasmi baharu untuk kegunaannya, dan menolak sebarang ubah suai pejabatnya bagi mengelak pembaziran di bawah pentadbirannya.

Ahli Parlimen Tambun itu juga menolak menggunakan Mercedes S600 yang dibeli Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi kegunaan rasmi perdana menteri sebelum beliau memasuki pejabat. — BebasNews

Leave a Reply