Saturday, January 28, 2023
Home Berita/News Politik/Politics Anwar disaran tumpu tugas sebagai Perdana Menteri

Anwar disaran tumpu tugas sebagai Perdana Menteri

Datuk Seri Anwar Ibrahim - Credit: Foto Bernama

SHAH ALAM — Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran untuk menumpukan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri tanpa memegang jawatan kabinet lain di bawahnya terutama melibatkan portfolio Kementerian Kewangan.

Pengerusi Yayasan Antirasuah Malaysia (Kelantan), Muhamad Nizam Ismail berpendapat, tindakan tersebut dapat mengelakkan persepsi negatif orang ramai jika Perdana Menteri turut mengendalikan kementerian berkenaan.

Menurutnya, langkah tersebut juga sekali gus dapat menguatkan nilai integriti dalam kerajaan yang ditadbir Anwar.

“Jika boleh lantikan melibatkan setiausaha akhbar, setiausaha sulit atau sebagainya bagi mana-mana menteri juga tidak perlu melibatkan orang yang mempunyai kepentingan politik.

“Lantiklah mereka yang mempunyai autoriti dalam bidang kementerian itu, berdasarkan meritnya selama berkhidmat di perkhidmatan awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan tidak menolak kemungkinan memegang portfolio Menteri Kewangan untuk mengecilkan saiz kabinet di bawah pentadbirannya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri memberitahu, beliau perlu meneliti segala kemungkinan dalam mempertimbangkan dan memutuskan pelantikan anggota kabinet.

Penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub turut berpandangan, jawatan Menteri Kewangan merupakan satu jawatan yang kritikal dan wajar diserahkan kepada individu lain agar meringankan beban tugas Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Muhamad Nizam berkata, beliau mengharapkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar stabil sehingga tamat penggal.

“Pimpinan dalam kerajaan pun kena terbuka sebab kita perlukan kestabilan negara sekarang ini,” katanya. –Sinar Harian

Sumber asal — https://www.astroawani.com/berita-malaysia/anwar-disaran-tumpu-tugas-sebagai-perdana-menteri-394141#.Y4VvLRF5Y6I.whatsapp

— BebasNews

Leave a Reply