KUALA LUMPUR — Prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah hanya untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya selepas pilihan raya.

Justeru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan, UMNO tidak akan mengabaikan prinsipnya dalam kerjasama strategik di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang di dalamnya ada DAP.

Katanya, apa yang berlaku dalam arena politik negara hari ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhannya iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.

Pada masa yang sama kerjasama ini juga adalah berlandaskan titah Yang Di Pertuan Agong yang inginkan Kerajaan Perpaduan terbentuk.

“Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,” katanya menerusi hantaran di laman facebook miliknya hari ini.

Zahid menegaskan, UMNO tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap moderate, sederhana, centrik dan progresif dalam menangani perubahan.

“UMNO juga menolak parti menggunakan agama untuk berpolitik, sebaliknya UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pengerusi BN itu juga menegaskan kerjasama BN dan PH di Perak dan Pahang, khususnya adalah bagi memastikan kesinambungan dalam kesejahteraan dan kebajikan rakyat di negeri-negeri tersebut.

“Kini adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan untuk diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan,” katanya.

Zahid berkata kesan suasana ekonomi dunia yang mencabar, perlu ditangani dengan lebih baik di peringkat tempatan agar tidak memberikan kesan berterusan kepada negeri dan negara.

“Kerjasama yang dibina oleh BN Perak dan Pahang juga memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri yang merupakan asas kepada pembentukan kerjasama strategik,” jelasnya.

Beliau berkata, pendekatan baharu ini adalah satu pilihan yang akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan.

Menurut beliau lagi, sifat keterbukaan ini mencerminkan bahawa BN-PH merintis jalan baharu untuk membawa politik centrik, jalan kesederhanaan dan matang.

Tambah beliau, pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini berbentuk kerajaan campuran selepas Perikatan Nasional (PN) menolak untuk menyertainya.

— BebasNews

Leave a Reply