KENAPA Akob membakar tilam perca ini?

APABILA sebut nama Opera Klasik dengan pengarahnya Rashid Sibir, tidak boleh tidak pasti terdetik diminda anda akan karyanya yang bukan sahaja membuatkan airmata penonton mengalir tanpa diminta malah yang lebih utama mesej yang ingin disampaikan.

Sebabnya beliau bukan mahu anda menangis sayu ketika menonton karyanya kerana ia bukan memaparkan apa yang tersurat sebaliknya anda harus faham apa yang tersirat di sebaliknya.

Itulah yang cuba disampaikan Rashid Sibir melalui “Tilam Perca” filem pertama terbitan Opera Klasik untuk Astro First Saluran 480 yang akan ditayangkan pada pukul 8.00 malam 3 Disember ini.

“Tilam Perca” disantuni dengan penuh jiwa oleh para pelakon hebat seperti Norlia Ghani, Amerul Affandi, Datuk Rahim Razali, Nasir Bilal Khan, Datuk Jalaluddin Hassan, Didie Alias dan Farahdhiya bukan sekadar memaparkan ‘sisa kain dijahit dan dicantum’ menjadi ‘sebuah tilam perca.’

POSTER utama “Tilam Perca.”

Ironinya sisa-sisa kain yang disusun atur kemudiann dijahit menjadi ’tilam perca cantik’ mempunyai cerita kehidupan yang kita mencorakkan sendiri. Jika tertanggal satu perca maka pincanglah intitusi sebuah keluarga!

“Saya terpanggil menerbitkan filem bertemakan kasih sayang dan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu hingga ke hujung nyawa kerana masyarakat hari ini bukan sahaja sudah hilang hormat pada orang tua malah mereka lupa jasa ibu mereka hingga membuatkan rajuk si ibu berpanjangan.

“Saya berbesar hati dan terpanggil untuk membuat filem ini walaupun tidak ramai yang mahu buat tetapi sekurang-kurangnya bila saya ‘dah tiada’ saya meninggalkan sesuatu untuk masyarakat.

“Bagi saya sebagai pengarah, kita harus memberi pendidikan melalui karya kita dan bukan hiburan semata-mata.

 

“Saya bangga dan amat bersyukur kerana buat pertama kali Astro First menerima kisah masyarakat kampung. Saya percaya rezeki daripada Allah dan kita berjuang dengan bakat anugerah-Nya. Kalau kita asyik ikut apa yang orang lain buat macam mana kita nak menyumbang kepada masyarakat.

RASHID SIBIR

“Harapan saya penonton sama-sama menyokong Opera Klasik dan Rashid Sibir dan yang penting mereka dapat apa yang saya cuba sampaikan,” kata Rashid Sibir mengenai filem pertamanya.

Menyentuh mengenai “Tilam Perca” beliau memberitahu ia bukan setakat meruntun jiwa penonton melihat sikap anak yang derhaka pada ibu malah ia cuba memberi contoh yang baik bahawa seorang penagih dadah boleh berubah. Dalam mengatasi masalah ini jika ada usaha dan pertolongan daripada ahli keluarga terdekat mampu membawa mereka pulang ke pangkal jalan.

Bercakap mengenai pelakon hebat yang digandingkan dalam filemnya ini Rashid Sibir berkata;

“Saya mengambil barisan pelakon yang hebat dan mahal untuk menyampaikan mesej saya terus kepada penonton. Kalau saya ambil pelakon baru ‘tak cukup masak’ kadangkala mesej itu tidak sampai. Saya tahu ada yang buat drama atau filem fikirkan tentang ‘keuntungan’ tetapi bagi saya keuntungan bukan matlamat utama sebaliknya kepuasan berkarya adalah penting.

“Bila bercakap mengenai pelakon saya sering melihat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kerana pelakonnya semua hebat dan saya bangga ada seniman begitu yang mana Allahyarham menggunakan apa yang dimilikki untuk menyampaikan mesej kepada penonton dan generasi waktu itu.

“Saya puashati dapat kerjasama dan komitmen yang jitu daripada para pelakon dalam filem ini apalagi mereka semua pernah berkerjasama dengan saya. Cuma bagaimana mahu buat mereka serasi atau ngam.

“Lakonan Amerul dan Norlia Ghani berjaya wujudkan chemistry yang akan membuat penonton marah dan kesian kepada Akob.

“Sementara Nasir Bilal Khan yang selalu melakonkan watak baik-baik tetapi dalam filem ini dia jadi anak yang kurang ajar. Tetapi saya jaga semua agar dialognya dalam bersahaja tetapi penonton nampak dia seorang anak yang jahat dan tidak keterlaluan.

“Selain mesej filem ini yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan agar kita menyayangi keluarga selagi mereka ada, kelainan yang cuba saya paparkan dalam filem ini ialah anak-anak Norlia Ghani semua dah tua lakonan Nasir Bilal Khan dan Jalaluddin Hassan.”

Menurut Rashid Sibir, sebagai penerbit dan pengarah beliau terkilan dengan senario dalam industri yang harus dihadapi dan amat membebankan terutama sikap pelakon sekarang yang terlalu demand dalam soal bayaran malah pihak stesen TV juga terlalu mementingkan rating.

DIDIE Alias sebagai Salbiah dan Kiah (Farahdhiya) dalam satu babak “Tilam Perca.”

“Sebagai penerbit kita akan cuba memuaskan hati semua pihak sama ada pelakon terlalu demand yang kadangkala lakonan dan komitmennya ‘ke laut’ dan pihak penyiar yang masih membayar pada takok lama!

“Stesen TV bukan setakat tayang drama di channel mereka malah mereka turut tayang ke youtube dan macam-macam lagi. Apa salah mereka kongsi bersama pendapatan itu dengan membayar lebih sedikit kepada kami sebagai penerbit.

“Dalam soal ini kadangkala susah kita nak bersuara. Sebagai penerbit kita ini ibarat mentimun, bergolek luka kena golek pun luka,” luah Rashid Sibir.

“Tilam Perca” membawa kisah seorang nenek (Norlia Ghani) yang sanggup membela cucunya, Akob (Amerul Affandi) walaupun tahu cucunya seorang penagih dadah. Beliau mahu mengubah tabiat buruk Akob walaupun dia seorang yang degil.

Merajuk dengan perangai dan kedegilan Akob, nenek menumpang di rumah anaknya, Atan (Nasir Bilal Khan) tetapi Salbiah (Didie Alias) isteri Atan tidak sukakan nenek. Akob merasa bersalah akhirnya mengikut cakap nenek agar membuang jauh sikap buruknya.

Sementara Man (Jalaluddin Hassan) pula gila nak kahwin dengan Kiah (Farahdhiya) dan ingin memimjam duit emaknya (nenek) tetapi tidak dapat. Atan yang kemaruk nak bertanding untuk jawatan ketua kampung cuba dapatkan duit daripada emaknya (nenek) tetapi emaknya tiada duit. Kedua beradik ini akhirnya bermusuh dengan emak mereka.

Bagaimanakah kesudahan masalah Akob, Man dan Atan? Apa pula reaksi nenek untuk menjernihkan kekeruhan yang berlaku dalam keluarganya? Hanya “Tilam Perca” yang dapat memberi jawapan dan jangan lupa menyaksikan apabila filem ini mula ditayangkan di Astro First Saluran 480 pada pukul 8.00 malam 3 Disember ini.

RASHID Sibir (berdiri dua dari kanan) bersama para pelakon dan kru filem “Tilam Perca”

BebasNews

Leave a Reply