Filem Tilam Perca bakal menyentuh hati penonton kerana ia berkaitan isu keluarga.

RAMAI yang berpendapat apabila cucu dibesarkan oleh nenek, kasih sayang yang diterima melimpah ruah dan sebab itu juga ada sesetengah cucu ‘rosak’ kerana terlampau dimanjakan.

Namun itu semua hanyalah pandangan masing-masing dan tidak dinafikan kasih sayang seorang nenek terhadap cucu adakala melebihi sayang kepada anaknya sendiri.

Cerita nenek dan cucunya ini dapat ditonton menerusi filem Tilam Perca arahan Rashid Sibir,  pengarah prolifik yang sering membuat penonton mengalir air mata tatkala menonton karyanya.

Karya menyentuh perasaan itu boleh ditonton mulai 3 Disember ini di saluran  Pawagam Rumah Anda, Astro First (480) atau boleh dilanggan menerusi platform penstriman On Demand atau Astro Go.

Norlia Ghani sebagai Nek Ton dalam filem Tilam Perca yang bakal ditayang di Astro First mulai 3 Disember ini.

Filem dengan genre kekeluargaan ini pasti sehebat karyanya sebelum ini seperti Pondok Buruk, Quran Buruk, Terbuka Pintu Syurga dan Tanah Kubur yang banyak memberi pengajaran kepada kita.

Jalan cerita Tilam Perca adalah cerita asal dan skrip oleh Rashid itu amat dekat dengan masyarakat tempatan di mana ia mengangkat konflik kekeluargaan.

Menurut Rashid, hidup semua insan umpama kain tilam perca, dari sisa-sisa kain  bila dicantum dan dijahit satu persatu barulah jadi satu tilam dengan corak yang cantik.

Justeru itu kita perlu menjaga kehidupan masing-masing dengan baik. Ibaratnya, kalau tertanggal satu jahitan maka pincanglah hidup kita.

Amerul Affendi sebagai Akob, cucu kesayangan Nek Ton.

“Saya suka menghasilkan sebuah naskhah yang mengetengahkan tentang drama kekeluargaan. Kali ini saya membawa subjek kasih seorang ibu buat anak-anaknya.

“Samalah macam hidup kita ini, sisa-sisa kain itu umpama anak-anak dan ibu, bila dicantumkan  barulah jadi satu kehidupan kerana kita yang corakkan hidup masing-masing.

“Filem sebegini jarang dipersembahkan di platform Astro First jadi saya cuba tampilkan Tilam Perca buat penonton serta sumbangan saya pada industri. Saya harap filem ini dapat sambutan baik daripada penonton seisi keluarga.

“Saya harapkan filem ini bukan hanya memberi nilai hiburan semata-mata, tetapi mampu menyampaikan nilai pengajaran seperti sayangi keluarga anda menerusi babak-babak yang disuntik dengan elemen kasih sayang,” katanya.

Nasir Bilal Khan (tengah) dan Didie Alias membawa watak sebagai anak dan menantu yang tidak menghormati orang tua dalam Tilam Perca.

Jelas Rashid, dia suka buat cerita perihal keluarga, kehidupan kampung dan kisah anak-anak yang tak tahu menghargai kasih seorang ibu.

“Bila saya tengok Astro First tak ada filem genre ini saya pun cuba untuk mengarah Tilam Perca ini sebagai satu sumbangan saya pada industri dan saya menukar gandingan pelakon dan juga plot penceritaan.

“Memandangkan di Astro First banyak filem genre moden tu yang Tilam Perca saya sengaja buat lain daripada yang pernah disiarkan di Astro First. Nak cuba pasaran genre family dan kampung,” jelasnya.

Rashid yang sering mengutamakan bakat itu tidak takut untuk menampilkan bintang-bintang otai dalam mengemudi watak-watak utama setiap naskhah arahannya.

Rashid Sibir menampilkan barisan pelakon senior sebagai peneraju utama untuk Tilam Perca.

Begitu juga dengan Tilam Perca, di mana menggabungkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Norlia Ghani, Amerul Affendi, Nasir Bilal Khan, Datuk Jalaluddin Hassan, Didie Alias, Datuk Rahim Razali dan Faradhiya.

Pelakon serba boleh Amerul Affendi pada mulanya agak kekok apabila digandingkan dengan semua pelakon otai, namun setelah memasuki hari kedua penggambaran, Amerul mula mendapat keserasian bersama pelakon-pelakon senior.

“Tidak banyak cabaran sewaktu bekerja di set sebab kebanyakan pelakon pernah kerja dengan saya. Cuma bagaimana nak buat dia orang serasi atau ngam aja.

“Amerul sebagai Akob jadi cucu pada Mama Norlia yang membawa watak nenek Ton.

Tilam Perca tidak membawa sebarang makna kepada Akob bila nenek kesayangan meninggal dunia.

Saya nak tunjukkan yang Akob sayang dan manja dengan nenek tapi bukan secara langsung. Dan nenek pun memang sayang cucu.

“Daripada reaksi dan ucapan dialog mereka berdua saya tunjukkan yang memang mereka amat sayang antara satu sama lain

“Lakonan Amerul dan mama Norlia berjaya mewujudkan chemstry yang buat org marah dan kesian pada Akob nanti.

“Penonton akan terasa bila nenek marah dan  nasihatkan Akob. Nampak kasih sayang di wajah mereka.  Abang  Nasir Bilal Khan selalu jadi karakter baik tapi dalam Tilam Perca, dia jadi anak kurang ajar.

Melihat barisan pelakon Tilam Perca, sudah pasti filem ini mampu memberi impak kepada penonton.

“Jadi saya jaga semua tu supaya dalam dialog yang bersahaja orang dah nampak dia anak yang jahat dan tidak keterlaluan. Sama macam watak Didie Alias. Saya kena tunjukkan yang dia jahat dari dialog, mimik muka dan perbuatan. Kami bincang supaya jangan terlalu over. Kita main under play tapi penonton tau dia menantu yang jahat,” hurai Rashid tentang watak dalam Tilam Perca.

Tambahnya lagi, mesej atau kelainan yang cuba ditonjolkan menerusi Tilam Perca adalah tentang anak-anak yang semuanya sudah tua.

“Tilam Perca juga memberi contoh yang baik bahawa seorang penagih dadah boleh berhenti menagih jika ada pertolongan. Ahli keluarga terdekat jangan hanya biarkan saja tapi mesti dekati dan usaha untuk tolong insya-Allah akan berhenti menagih.

“Apa yang sering berlaku, masyarakat kita lebih banyak membiarkan saja penagih dadah hidup dalam dunianya dan tak ada niat nak tolong.

“Selain itu filem ini juga memaparkan sikap tamak anak-anak pada harta arwah ibu juga membawa padah di mana anak-anak menjadi lumpuh kerana balasan Allah dek layanan mereka pada arwah sewaktu hayatnya,” katanya.

Selaku penerbit Opera Klasik yang menerbitkan Tilam Perca, Rashid harap penonton dapat memberi sokongan pada Tilam Perca kerana ia merupakan filem tontonan seisi keluarga.

Malah Rashid akui para pelakon memberikan mutu lakonan yang tinggi dan yakin penonton dapat sesuatu yang baik untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan.

“Sayangi keluarga anda. Jangan menyesal bila dah tiada. Saya harap penonton dapat merasakan kasih sayang yang cuba saya ketengahkan dan dapat memberikan rasa pada anak-anak supaya sayangkan ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, lagu tema Tilam Perca iaitu “Terlalu Rindu” merupakan nyanyian Halim Ahmad, hasil ciptaan dan lirik oleh penyanyi dan komposer Halim Ahmad sepenuhnya.

Tilam Perca mengisahkan tentang seorang nenek yang sanggup bergadai nyawa dan harta untuk anak-anaknya, Pak Tan dan Pak Man.

Namun, nenek tetap dilayan hina oleh kedua-dua anak lelakinya serta menantu yang tidak berperikemanusiaan.

Sementara itu, orang kampung juga memandang hina terhadap nenek kerana menjaga cucu, Akob yang merupakan seorang penagih. Namun sebagai ibu dan nenek, jiwa wanita berusia itu masih cuba menerima semua dugaan dan tetap menyayangi anak dan cucu.

— BebasNews

Leave a Reply