Ben Nathan bersama DJ Dave.

MASIH ingat tak lagi dengan penyanyi lagu Stanza Sekeping Hati, Ben Nathan?  Penggemar lagu tempatan era 80-an mungkin menjadikan lagu tersebut sebagai salah satu lagu kegemaran. Generasi kini mungkin tertanya siapa itu Ben Nathan.

Bagi mengembalikan namanya di persada muzik tanah air, Ben yang sebelum ini melalui pelbagai dugaan dalam kehidupan kembali menerusi single baharu.

Ben, 60, yang kini menetap  di sebuah rumah jagaan di Petaling Jaya bakal muncul dengan single berjudul Untuk Kebahagiaan Mu,  bulan depan selepas tertangguh hampir setahun.

DJ Dave yang membawa Ben Nathan keluar daripada kehidupan gelandangan.

Sepanjang berada di rumah penjagaan tersebut, adiknya, Bob, 47, sering kali melawat penyanyi berkenaan bagi memastikan keadaan Ben sentiasa terurus.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave yang sebelum ini membawa Ben Nathan keluar dari kehidupan gelandangannya berjaya mengubah kehidupan Ben yang kembali ke kehidupan normal.

Baru-baru ini DJ Dave membawa Ben keluar berbelanja untuk persiapan penggambaran video muzik single baharunya itu.

“Hari ini, kami membawa Ben Nathan ke salah sebuah pusat beli-belah untuk membeli pakaiannya bagi tujuan rakaman video muzik singlenya.

Bob (kanan) bertanggungjawab menjaga kebajikan Ben sepanjang tempoh penyanyi itu menetap di rumah penjagaan.

“Gembira saya melihat beliau yang tampak lebih tampan dan sihat. Ben juga teruja untuk kembali menyanyi, selepas kami menawarkan peluang tersebut kepadanya pada 2017,” ujar DJ Dave.

Penyanyi itu dijangka akan melancarkan video muzik lagu Untuk Kebahagiaan Mu, ciptaan komposer dari Indonesia pada bulan hadapan.

Untuk projek single tersebut, pihak YKAT menerima dana berjumlah RM20,000 dari pihak Cendana bagi tujuan majlis pelancaran single Ben.

“Kami telah menerima kelulusan dana tersebut pada tahun lepas, namun atas faktor pandemik dan juga faktor kesihatan Ben, kami terpaksa menangguhkannya. Tetapi kami akan tetap meneruskan pelancaran ini pada bulan hadapan”, kata DJ Dave.

Tambahnya, Ben turut menyuarakan bahawa dia merindui untuk menyanyi di hadapan penonton dan berharap agar masih ada peminat yang merinduinya.

Sementara itu, Bob memberitahu yang abangnya gigih berlatih menyanyi sebelum menjalani rakaman suara.

“Saya nampak abang gigih berlatih bernyanyi, katanya tak sabar bertemu peminat. Saya sebagai adik sentiasa berharap agar dia kekal dengan semangat itu.

“Semoga dengan pelancaran muzik video itu nanti orang dapat menerima dia kembali di dalam industri. Saya tahu minatnya terhadap seni tidak pernah padam,” kata Bob.

Pelancaran single ini juga bertujuan agar ianya dapat memberikan sumber pendapatan kepada Ben Nathan.

Setakat ini, kos perbelanjaan Ben di rumah jagaan adalah ditanggung oleh Bob. Namun, sejak ibu mereka kurang sihat Bob turut perlu menanggung perbelanjaan perubatan ibu mereka.

Jadi, sekiranya dia dapat beraksi di hadapan penonton kelak diharap dapat membuka ruang untuk dia  membuat persembahan sebagai sumber pendapatan.

— BebasNews

Leave a Reply