Foto Pahang Media

PEKAN — Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), lapan mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco itu diadakan di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pukul 3 petang.

Berangkat sama dalam istiadat itu ialah Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mendahului istiadat mengangkat sumpah itu adalah Datuk Seri Ir Mohd Soffi Razak (BN- Benta); Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN-Kerdau), dan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (BN- Bebar), yang masing-masing pernah memegang jawatan Exco di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Foto Pahang Media

Ini diikuti Ir Razali Kassim (BN- Muadzam Shah); Datuk Mohd Nizar Najib (BN- Peramu Jaya), Datuk Sabariah Saidan (BN- Guai) dan Fadzli Mohamad Kamal (BN-Dong).

Turut tersenarai dua wakil gabungan parti dalam PH iaitu Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) dan Leong Yu Man (DAP- Triang).

Kesemua mereka kemudian menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Tengku Muhammad Iskandar.

Turut hadir menyaksikan istiadat pelantikan itu, Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Foto Pahang Media

Pada 28 November lalu, ADUN Jelai, Wan Rosdy mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua di hadapan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini menyaksikan kerajaan negeri tidak boleh dibentuk ekoran tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah 22 daripada 42 kerusi DUN Pahang.

BN hanya menang 16 kerusi DUN manakala PN 17 kerusi dan hanya lapan kerusi dimenangi PH.

Kerjasama antara gabungan PH dan BN menjadikan mereka mempunyai kerusi yang mencukupi iaitu 24 kerusi DUN, melepasi angka majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

— BebasNews

Leave a Reply