KUCHING, 2 Dis. — Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi bayangan empat wakil rakyat gabungan itu akan dilantik sebagai menteri penuh dalam barisan Kabinet Kerajaan Persekutuan, sama seperti jumlah yang diperoleh sebelum ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS telah menyatakan keinginan untuk mengekalkan jumlah itu di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Setakat ini saya tidak dengar apa-apa dari sana (Semenanjung), kemungkinan besar kita akan kekalkan jumlah yang sama.

Sebelum ini kita ada empat orang Ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri penuh antaranya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” katanya selepas menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru di DUN Sarawak di sini.

Beliau bagaimanapun tidak mempunyai maklumat individu yang akan menjawat jawatan menteri dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

“Hanya Perdana Menteri yang tahu siapa yang akan menggantikan Wan Junaidi, kita (GPS) hanya meminta untuk kekalkan jumlah Menteri, ia bergantung kepada beliau (Anwar),” katanya .

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), empat ahli Parlimen Sarawak daripada GPS dilantik sebagai menteri penuh.

Mereka ialah Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kanan Kerja Raya; Datuk Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) serta Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).

Pada PRU lalu, Wan Junaidi menolak untuk dicalonkan semula. — BebasNews

Leave a Reply