PARIT BUNTAR — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot gentian kaca di kedudukan 0.2 batu nautika barat Kuala Gula, Perak pada jam 4.05 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, bot itu ditahan semasa pasukan bot peronda Maritim telah mengesan bot terbabit bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Katanya setelah dirapati untuk pemeriksaan dan hasil pemeriksaan menemukan empat orang kru nelayan tempatan termasuk tekong berumur antara 18 hingga 54 tahun berada di atas bot terbabit.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati, lesen bot terbabit telah tamat tempoh dan spesifikasi enjin yang digunakan tidak sama seperti yang didaftarkan dalam lesen.

“Selain itu, pemilik asal tidak mengusahakan sendiri bot terbabit. Kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Najhan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen. Katanya, Maritim Malaysia terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan salah laku di laut.

“Sebarang aduan dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) untuk tindakansegera,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply