Oleh Mohd Shauki Abd Majid

Sebagai bangsa yang menerasi entiti yang bernama Malaysia, bangsa Melayu sudah sewajarnya memainkan peranan yang besar dalam arus perdana bangsa dan negara. Sekaligus memberi teladan kepada komponen bangsa yang lain sebagai bangsa yang tangguh, bersatu padu, solid dan tidak mudah diadu domba oleh pihak berkepentingan yang ingin menyaksikan bangsa Melayu tercerai berai.

Melihat situasi hari ini di mana kita menyaksikan bibit-bibit perpecahan yang semakin menyesakan dan membimbingkan di negara kita. Kita dihadapkan dengan isu ‘ancaman’ yang nyata dengan ‘perpecahan’ orang Melayu. Di mana-mana sahaja, isu ini dibahas, diperdebat dan ditafsir dari pelbagai sudut kepentingan masing-masing.

Jelas sekali dari beberapa kenyataan Perdana Menteri Dato Sri Anwar Iberahim sejak dilantik sebagai Perdana Menteri “Kerajaan Perpaduan”menampakkan inisiatifnya untuk membawa usaha murni ini ke arah menyatupadukan umat Islam khasnya di Malaysia tanpa sekatan ideologi politik, aliran keagamaan dan mazhab.

Impian untuk menyaksikan perpaduan ummah yang kukuh sesungguhnya menjadi ‘kerja rumah’ semua pihak yang malangnya sampai hari ini tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.Kita meletakkan harapan yang menggunung bahawa kerajaan perpaduan yang diberi mandat untuk memerintah negara ini dapat menghasilkan resolusi kongkrit mengurai kekusutan perpecahan umat yang semakin menyesakkan dada.

Dalam situasi negara yang berdepan dengan tohmahan dan fitnah yang bermaharajalela serta ancaman puak chauvinis yang tidak rela wujudnya perpaduan ummah.Kesediaan Perdana Menteri menawarkan kerjasama dengan semua parti untuk bersama dalam kerajaan perpaduan ini cukup penting kerana ia merupakan pertanda positif dan semakin mendekati ke arah perpaduan ummah yang selama ini seolah-olah hanya di alam retorik sahaja.

Pada hakikatnya, sudah sekian lama usaha-usaha untuk menyatupadukan umat Islam di bumi bertuah ini dilakukan. Namun sejak sekian lama juga usaha ini ditanggapi dengan beragam tanggapan. Meskipun usaha murni ini berniat baik dan bertujuan semata-mata demi kepentingan ummah, namun ada sahaja pihak yang berpandangan sinikal, prejudis dan bahkan tak segan silu melempar tuduhan melulu dengan mengatakan usaha kerajaan perpaduan ini hanya menguntungkan satu pihak sahaja, manakala satu pihak yang lain langsung tidak mendapat manfaatnya. Walau bagaimanapun, usaha penyatuan ummah tidak sepatutnya berhenti disebabkan cabaran seperti itu, sebaliknya ia perlu dipergiatkan lagi.

Hal ini kerana Islam menekankan dan menganjurkan manusia mencari titik temu persaudaraan bukan sahaja terhadap sesama Islam, dengan kelompok bukan Islam pun sedemikian. Persaudaraan Islam merupakan idea sosial yang teragung. Sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh merosakkan nilai murni itu dianggap merosakkan agama. Umat Islam umpama satu jasad atau satu bangunan saling memelihara dan mengukuhkan antara satu sama lain.

Perpecahan harus dibendung. Jika perbezaan pendapat tidak melibatkan akidah, maka seharusnya ‘permusuhan yang ketat’ sehingga orang Islam berpecah belah tidak harus berlaku. Jelas sekali golongan yang mengaku lebih ‘Islamik’ daripada yang lain sebenarnya tidak menghiraukan ajaran Islam yang amat mendasar, iaitu orang mukmin adalah bersaudara.

Oleh yang demikian, perbuatan memecah belah dan permusuhan adalah haram dan patut dihindarkan sekiranya kita benar-benar berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Justeru, Allah SWT mengingatkan umat Islam supaya menggunakan fikiran yang waras, meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan puak, diri dan hawa nafsu sendiri.Menyatukan ummah dan mengelak perpecahan merupakan tugas-tugas kemasyarakatan (muamalat) yang mempunyai kedudukan penting, sehingga dihargai lebih tinggi daripada ibadah-ibadah ritual.Nabi SAW menegaskan menerusi sabda baginda yang bermaksud: Perumpamaan kaum mukmin dalam hal jalinan kasih sayang, kecintaan dan kesetiakawanan, sama seperti satu tubuh, yang apabila salah satu anggotanya mengeluh kerana sakit, maka seluruh anggota lainnya menunjukkan simpatinya dengan berjaga semalaman dan menanggung panas kerana demam.

Hanya ‘tali Allah’ sahaja yang dapat memberi pegangan yang kukuh kepada semua orang dan dengan nikmat itu mereka dapat hidup sebagai saudara. Tiada yang dapat menyatukan hati melainkan persaudaraan yang menjurus semata-mata kerana Allah, iaitu persaudaraan yang membuang segala macam dendam kesumat, sikap mementingkan diri serta kelompok sendiri sahaja.

Apakah nikmat lain yang paling besar daripada persaudaraan sesudah permusuhan? Itulah nikmat yang paling besar dan amat mahal harganya daripada emas dan perak. Justeru, hikmat persaudaraan adalah nikmat dalam dapat dirasakan oleh jiwa yang tulus dan suci, semata-mata mengharap keredaan Allah SWT. Dengan persaudaraan, yang berat dapat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

Usahlah diingkari perintah Allah sekiranya kita benar-benar sayangkan agama, bangsa dan negara serta tidak ingin melihat kehancuran ummah dan negara di tangan kita sendiri. Dan usahkan kita menyediakan medan persengketaan yang lebih luas yang akan merugikan diri, bangsa dan umat kita sendiri, juga generasi akan datang.

Catatan : Ibnu Majid

Sumber asal — https://dhomir.com/index.php/semasa/nak-bersatu-atau-nak-rakyat-terus-menderita

— BebasNews

Leave a Reply