Ibrahim Komoo
Oleh A. AMRI

PUTRAJAYA — Pengamal media di negara ini diminta cakna dengan perubahan istilah sains seismologi bagi pengukuran standard gempa bumi yang tidak lagi dirujuk sebagai skala Richter.

Teguran mesra itu disuarakan oleh pakar geologi terkenal tanah air, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo susulan banyak kejadian gegaran di luar negara pada akhir bulan lepas.

“Skala Richter adalah pengukuran yang memang telah digunakan sekian lama sejak 1940-an tetapi sudah tiada lagi dan sekarang kita sebut skala Magnitud,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, pentadbir laman sosial popular isu berkaitan geografi tempatan, MatGeo tular melalui hantarannya itu menegur penggunaan skala Richter oleh petugas media di negara kita.

Sebaliknya, sejak 2016 standard gegaran digantikan kepada skala Magnitud atau simbol Mw kerana ukuran Richter yang digunakan dari 1935 lalu didapati kurang tepat dan mengelirukan.

Formula itu yang diperkenalkan oleh saintis Charles Francis Richter malah hanya sesuai bagi kes gempa di California, Amerika Syarikat tetapi tidak senario gegaran di tempat-tempat lain.

Susulan isu khilaf itu, Persatuan Seismologi dan Fizik Interior Bumi Antarabangsa (IASPEI) pada 2005 lalu memansuhkan skala Richter bagi menyeragamkan prosedur laporan pengukuran.

Pentadbir MatGeo memaklumkan bahawa skala lama itu tidak relevan kerana nilainya terhenti pada kadar 8.9 sedangkan banyak gempa dahsyat sebenarnya berukuran lebih daripada itu.

Ini termasuk insiden di Tohoku, Jepun pada 11 Mac 2011 lalu yang berkekuatan Magnitud 9.1, manakala gempa tsunami di Aceh, Indonesia pada 26 Disember 2004 pula didapati 9.2 Mw.

Sehubungan itu, pihak IASPEI telah menilai semula semua kejadian gegaran di seluruh dunia yang terjadi sebelum ini dengan rujukan seragam pada skala Magnitud dan bukan Richter lagi.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata seperti skala Richter, Magnitud ada makna impak kepada penduduk yang berasaskan faktor kekukuhan bangunan, jenis tanah dan jarak dari pusat gempa.

“Jika Mw dari 1 hingga 3, hanya alat pengukur dapat kesan tetapi 4 hingga 5 pula sederhana yang mungkin boleh rosak bangunan manakala 6 hingga 7 ada impak besar ketara,” katanya.

Paling tinggi iaitu 8 Mw dan ke atas ujar beliau, kesan kemusnahannya sangat luas yang jika ada berlaku di kawasan lautan, susulan gegaran tersebut boleh mencetuskan kejadian tsunami.

Beliau juga sependapat dengan MatGeo bahawa jika laporan gempa dikeluarkan pusat seismologi merujuk skala Magnitud, adalah salah bagi pihak media melaporkan pula sebagai Richter.

Bagaimanapun dalam nada berjenaka beliau berkata, isu skala mungkin tidak diberikan fokus di Malaysia kerana negara ini kurang kejadian gempa yang berimpak besar iaitu lebih 5 Mw.

Justeru katanya, saintis geologi tempatan tidak perlu ‘membuang masa’ bercakap mengenai isu gempa, namun mereka lebih menumpukan usaha kepada bencana tanah runtuh dan banjir.

Dianggarkan terdapat lebih 20,000 gegaran direkodkan di seluruh dunia saban tahun dengan secara purata sekitar 55 kes gempa berlaku pada setiap hari tetapi kebanyakan bawah 3 Mw.

Malaysia yang secara geografi terletak di luar Lingkaran Api Pasifik dianggap bebas gempa, tetapi Jabatan Meteorologi mencatatkan lebih 100 gegaran di seluruh negara sepanjang tahun.

Sebahagian besarnya di Sabah kerana negeri itu terletak bersebelahan zon selisih plat Indonesia-Filipina dengan paling kuat pada 2015 yang berkekuatan 5.9 Mw dan meragut 17 nyawa. — BebasNews

Leave a Reply