Datuk Seri Jamil Khir Baharom - Foto via Blogspot.com

KULIM — Barisan Nasional (BN) berkompromi memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu depan.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan perkara tersebut ketika ceramah pengumuman khas yang diadakan di Taman Desa Aman, Padang Meiha, malam tadi.

“Apabila kita lihat Menteri Besar (Pahang) diberi laluan kepada BN untuk mengepalai negeri itu dan begitu juga di Tioman telah pun juga diberi laluan untuk BN.

“Maka selaku Pengerusi BN kedah, setelah mengambil ketetapan dan mendengar nasihat pimpinan atasan terutama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi suka mengumumkan laluan di Padang Serai akan diberikan kepada PH,” katanya.

Namun calon BN Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj tidak kelihatan pada program ceramah tersebut.

Jamil Khir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah menyatakan Sivaraj akan membantu mencapai kemenangan PH di kerusi itu.

“Kita harap pokok yang baru disemai dan Parlimen paling akhir (Padang Serai) pada hari pengundian nanti inshallah PH yang bergabung dgn BN membentuk Kerajaan Perpaduan akan menang dan dimartabat dan kerajaan Agong didaulatkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan teka-teki sama ada BN akan memberi laluan kepada PH pada PRU15 Parlimen Padang Serai dijangka terjawab.

Sebelum ini PH memberi laluan kepada BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman apabila PH memilih menyokong calon BN.

Setiausaha PH Kedah, Dr. Mohamad Sofee Razak dipilih sebagai calon baharu menggantikan mendiang M. Karupaiya yang meninggal dunia pada 16 November lalu.

Mohamad Sofee dilaporkan sebelum ini berharap BN berkompromi dengan pihaknya mempertahankan kerusi tersebut. — BebasNews

Leave a Reply