BERLALU sudah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023. Pelbagai kupasan dan analisis sudah ditulis mengenainya. Namun bara yang masih membahang sehingga kini ialah keputusan tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan dijangka Mei depan.
Walau pun bukan semua perwakilan menyokong, dan di sebalik persoalan samaada pembentangan usul tambahan tersebut menepati perlembagaan UMNO, ia diluluskan. Memandangkan ia hanya keputusan perwakilan PAU, tidaklah ia boleh ditafsir sebagai mewakili suara akar umbi UMNO.
Ramai melihat isu tiada pertandingan dua jawatan utama UMNO sebagai anti klimaks. Selepas pemilihan ditangguh 18 bulan dan kemudian selepas Pilihan Raya Umum (PRU)-15, ramai ahli UMNO ghairah untuk melihat pemilihan diadakan dari peringkat atas hingga ke jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Mereka mahu amalan demokrasi subur dalam UMNO, ahli-ahli parti diberi hak memilih barisan kepimpinan pasca PRU-15. Samaada mereka memilih kepimpinan baharu atau memilih semula muka lama, itu perkara lain. Yang penting gelanggang pertandingan tidak ditutup.
Tetapi nampaknya UMNO bukan seperti kata peribahasa ‘sekali kena, dua kali tahu’. Sudah dua kali terhantuk masih belum tengadah. Sudah tewas dalam PRU-14 dengan hanya menang 54 kerusi, kemudian merudum kepada hanya 26 kerusi dalam PRU-15, ia dilihat masih tidak mahu berubah. Mahu tunggu tiga kali kena?
Beberapa pemimpin meletak jawatan susulan prestasi teruk ini. Antaranya Ketua Penerangan, Shahril Hamdan dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar. Mereka rasa bertanggung jawab di atas kekalahan dan mahu pemimpin atasan juga bertindak sama. Seruan ini turut diluah oleh pemimpin lain, termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sepatutnya kekalahan dalam dua PRU berturut-turut diterima sebagai loceng amaran betapa rakyat, terutama orang Melayu sendiri, menolak UMNO. Kubu kuat UMNO terutama di kawasan luar bandar atau Felda sudah roboh.
Justeru ahli UMNO beranggapan adalah penting untuk parti itu bertindak proaktif membuat perubahan, termasuk meremajakan parti serta memberi peluang pemimpin pelapis mengambil alih.
Tetapi tidak mungkin ini dapat dilakukan jika ruang menawar diri ditutup. Seharusnya orang lama dengan ikhlas melepaskan kepada golongan muda menjadi pemimpin dengan tidak menyekat pertandingan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri tidak gentar berhadapan dengan siapa juga yang mahu mencabar. Beliau yakin memiliki sokongan untuk terus memimpin parti. Jadi kenapa tiada pertandingan?
Alasan pertandingan akan membawa perpecahan adalah cliché. Sampai bila hendak bergayut kepada alasan ini? Bukan UMNO tidak pernah mengadakan pertandingan sebelum ini. UMNO tidak berpecah selagi semua pihak menerima keputusan dan kembali bertaut selepas pertandingan.
Apa yang dilihat sekarang mana-mana ahli yang dianggap tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan disisih, digantung keahlian, malah dipecat sekiranya membuat teguran terhadap parti dan pemimpin.
Kepimpinan UMNO tidak harus bersikap tidak boleh ditegur, atau hanya mendengar pandangan mereka yang ‘rapat’ sahaja. Dibimbangi pucuk pimpinan akan hanya mendengar apa yang mereka mahu dengar, kata-kata manis yang menyedapkan hati sedangkan senario dalam parti adalah sebaliknya.
Sokongan seperti ini boleh membawa rebah. Sepatutnya pandangan semua pihak, termasuk kelompok yang dianggap tidak sehaluan, harus didengar serta dianalisis buruk baiknya. Pandangan kontra hendaklah dianggap sebagai semak dan imbang demi kebaikan parti.
Walau pun UMNO banyak berjasa sepanjang lebih enam dekad berkuasa, ia harus bergerak menurut peredaran masa. Golongan lama yang setia dengan UMNO semakin berkurangan. Kini golongan belia dan remaja lebih menonjol. Pada PRU-15, pengundi 18 tahun masuk gelanggang.
Golongan muda mempunyai pilihan dan citarasa sendiri. Mereka generasi baharu yang tiada nostalgia terhadap UMNO berbanding datuk nenek atau moyang mereka yang lahir dan membesar bersama parti itu. Kerana itu penting meremajakan UMNO. Beri peluang pemimpin pelapis menerajui parti untuk menarik golongan muda.
Namun nampaknya selepas tewas PRU-14 dan PRU-15, UMNO masih tidak bersedia bermuhasabah atau berusaha agar parti kembali kukuh. Cukupkah sekadar seronok menempel parti lain untuk tumpang berkuasa?
— BebasNews

PERNAH berkhidmat 33 tahun di Utusan Melayu mulai 1980 hingga 2013 dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Ketua Pengarang.
Memegang pelbagai jawatan ketika bertugas termasuk Pengarang Mingguan Malaysia dan Ketua Biro Alor Setar.
Berkelulusan Diploma Sebaran Am ITM 1979 dan Sarjana Kewartawanan Universiti Boston 1984.