Sebahagian suspek yang ditangkap dalam kes salah laku program PENJANA memperlihatkan keazaman SPRM untuk membanteras ketirisan dan penyelewengan dana awam.
Datuk Seri Hishamuddin Hashim

Oleh Datuk Seri Hishamuddin Hashim
Pengarah Kanan Siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

MELANGKAH ke tahun 2023, Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi sektor operasinya, terus memberikan perhatian dan keutamaan terhadap kes-kes yang melibatkan pengurusan dana, subsidi dan bantuan-bantuan khas kerajaan.

Dalam hal ini, di bawah strategi “Pemerkasaan Penguatkuasaan Berkesan”, SPRM memberi penekanan terhadap tiga bidang utama iaitu perolehan kerajaan, sektor penguatkuasaan dan dana awam atau peruntukan khas kerajaan.

Pertama, dalam bidang perolehan kerajaan, tumpuan SPRM siasatan adalah untuk  membanteras amalan rasuah dalam sistem perolehan kerajaan, mengelakkan daripada
ketirisan dan memastikan projek-projek atau perkhidmatan dilaksanakan mengikut
undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Tumpuan akan turut diberikan kepada kegiatan monopoli projek (kartel projek), projek-projek terbengkalai dan projek-projek sakit yang menyebabkan kerugian besar kepada
Kerajaan dan melibatkan kes besar seperti individu berprofil tinggi, kes berkepentingan awam dan kes sensitif.

Kedua, menerusi bidang sektor penguatkuasaan pula, tumpuan SPRM adalah terarah  kepada pembongkaran kes-kes bersindiket (syndicated crime) atau jenayah terancang
yang memberi kesan kepada aspek sosioekonomi masyarakat seperti penyeludupan,
perjudian, memperdagangkan manusia, pekerja asing tanpa izin, perlesenan, percukaian
dan Macau Scam. SPRM percaya, terdapatnya tali barut di kalangan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa dalam membantu kegiatan penjenayah-penjenayah ini.

Ketiga, bidang dana awam atau peruntukan khas kerajaan, tumpuan SPRM adalah terhadap isu-isu ketirisan dan ketelusan pengurusan dana Kerajaan yang hendak disalurkan kepada golongan sasar. Saban tahun, SPRM menerima rungutan dari pelbagai lapisan masyarakat tentang ketidakcekapan pengagihan dana-dana awam, ketirisan, penyelewengan dan tidak mencapai objektif pemaksaannya.

Dana-dana ini adalah seperti Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Skim Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Skim Bantuan Kepada Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS).

Menyentuh berkaitan usaha membanteras ketirisan dan penyelewengan dana awam ini,
SPRM pada tahun lalu telah melancarkan satu operasi khas yang dinamakan sebagai “Ops Hire”. Siasatan yang melibatkan kolaborasi strategik antara SPRM bersama PERKESO telah digerakkan sejak Julai 2022 dan dilaksanakan di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. Fokus siasatan menjurus kepada syarikat-syarikat yang disyaki melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana Kerajaan di bawah program PENJANA melalui PERKESO.

Jumlah peruntukkan yang disalurkan oleh Kerajaan untuk program PENJANA ini adalah  RM3.5 bilion dalam tiga peringkat iaitu: PENJANA KERJAYA 1.0 (1 Jun 2020 – 20 Disember 2020), PENJANA KERJAYA 2.0 (21 Disember 2020 – 30 Jun 2021), dan PENJANA KERJAYA 3.0 (fasa pemulihan) iaitu dari 15 Jun 2021 sehingga 31 Disember 2023. Objektif pemberian dana ini oleh Kerajaan adalah untuk merangsang ekonomi semasa tempoh pandemik Covid-19 melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan Pekerja.

Dalam kes ini, suspek-suspek dikesan telah mengambil kesempatan atas syarat-syarat
longgar yang ditetapkan oleh Kerajaan dengan mengemukakan permohonan mendapatkan dana PENJANA menggunakan dokumen-dokumen yang mengandungi maklumat pekerja dan program latihan yang palsu kepada PERKESO. Hasil siasatan mengesahkan bahawa individu-individu yang didakwa sebagai kakitangan kepada syarikat suspek tidak dapat dibuktikan dan program latihan juga tidak dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana tuntutan.

Melalui operasi ini, seramai 74 orang individu telah ditangkap dan 61 buah syarikat turut disiasat. Siasatan mendapati jumlah yang terlibat dengan jenayah ini adalah sebanyak RM
RM87,980,757.29. Sehingga19 Januari 2023, seramai 27 orang individu telah didakwa di
Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka di bawah kesalahan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana nilai keseluruhan tuntutan palsu adalah RM4,927,440.00. Wang hasil daripada aktiviti jenayah ini berjumlah RM 3 juta juga telah berjaya dilucuthakkan kepada Kerajaan. Ramai lagi suspek dijangka akan didakwa dalam masa terdekat selepas siasatan ke atas mereka diselesaikan.

Walaupun ramai suspek telah didakwa, siasatan ke atas isu ini akan tidak berakhir di sini
sahaja. Siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu-individu atau syarikat-syarikat
yang disyaki terlibat melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi
mendapatkan dana Kerajaan di bawah program PENJANA. SPRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat dalam isu ini.

Di samping itu juga, sektor pencegahan melalui fungsi pemeriksaan dan perundingan juga
akan menumpukan kepada penelitian amalan, sistem dan tatacara agensi-agensi awam
terutamanya yang terlibat dengan pengurusan dana atau geran Kerajaan bagi menutup
ruang dan peluang berlakunya jenayah.

— BebasNews

Leave a Reply