Oleh Sarfarizmal Saad
Ramai yang menanti-nanti apa konsep atau ‘trade mark’ Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan ini.
Sebelum ini konsep kepimpinan negara kita jelas iaitu Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1Malaysia, Malaysia Baharu, Malaysia Prihatin dan sebelum ini Keluarga Malaysia.
Nah, selepas hampir dua bulan setelah kita hadapi PRU15, Anwar umumkan ‘Malaysia Madani’ sebagai dasar kerajaan ini.
Terdiri daripada enam tonggak dasar, iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).
Kerangka ini untuk mengangkat Malaysia menjadi sebuah Negara Madani agar menjadi lebih hebat di mata penduduk dunia. Dengan cara itu, kita mampu dihormati kawan dan lawan.
Kumpulan masyarakat yang paling mudah untuk garab tonggak-tonggak dasar ini adalah jentera kerajaan. Anwar pilih kumpulan sasaran yang tepat bilamana beliau melontarkan implementasi Malaysia Madani ini untuk dipandang serius oleh para penjawat awam.
“Ini semua boleh menambah keyakinan dengan menegakkan sistem atau negara hukum yang tidak akan memilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, dan tidak juga menindas atau menekan individu atau puak yang tidak mendukung kita.
“Ini yang disebut sebagai jentera kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar, berfungsi secara optimum dan kita selesaikan isu tata kelola dengan penyelarasan dan koordinasi tapi harus bermula dengan pengurusan atasan,” kata Anwar semasa majlis pelancaran Malaysia Madani pada 19 Januari 2023.
Pun begitu kita wajar sedar satu perkara, antara elemen untuk memacu pertumbuhan negara ini adalah dengan membanteras rasuah dan salahguna kuasa.
Sekiranya kali ini kerajaan benar-benar mahu ‘memadanikan’ negara dan rakyat, maka rasuah dan salahguna kuasa harus dihentikan. Ironinya, ia juga banyak berlaku dalam ruang lingkup kerja para penjawat awam tanpa kita bersikap prejudis kepada mana-mana pihak.
Tambah menarik, ia seiring dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi sektor operasinya, yang terus memberikan perhatian dan keutamaan terhadap kes-kes melibatkan pengurusan dana, subsidi dan bantuan-bantuan khas kerajaan.
SPRM memberi penelitian terhadap tiga bidang utama iaitu perolehan kerajaan, sektor penguatkuasaan dan dana awam atau peruntukan khas kerajaan.
Kita berharap makna sebenar MADANI itu dapat dimulakan dengan langkah menyucikan ‘taik-taik’ rasuah dalam negara ini.
Semoga kerangka konsep Malaysia MADANI berjaya membawa Malaysia suci dari rasuah.
(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)
— BebasNews