Syed Izmal Syed Manshor (dua dari kanan) dan Azizie Amad (dua dari kiri) sewaktu sidang media selepas sesi lawatan kilang di Rawang, baru-baru ini.

ADABI.. melazatkan, Adabi…menyelerakan, mengandungi pelbagai rempah, melazatkan kari dan kuah.

Kalau melihat produk keluaran Adabi, automatik lagu iklan jenama tersebuat berputar di minda kerana lagu itu malar segar.

Semua sedia maklum produk yang mengguna tagline, resipi masakan Melayu tradisional asli dalam rangkaian produk Kari, Sambal dan Sup pasti ada di dapur  kebanyakan rumah rakyat Malaysia.

Dari masa ke semasa Adabi akan memgeluarkan produk baharu mengikut permintaan pengguna berdasarkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan oleh pasukan petugas mereka.

Faktor kebersihan amat dititik beratkan dalam proses pengetinan makanan di dalam kilang Adabi.

Untuk tahun ini sahaja, Adabi ada lima hingga lapan produk yang sedia untuk dilancarkan pada waktu yang sesuai dari semua kategori produk dan bukan saja produk makanan dalam tin tapi ada juga produk rempah dan tepung.

Pihak Adabi Consumer Industries baru saja membuka sebuah kilang baharu yang telah beroperasi sejak Jun 2022 di Lot 18, Rawang, Selangor.

Ketua Pegawai Kumpulan Kewangan & Strateginya, Syed Izmal Syed Manshor berkata, pembukaan kilang baharu itu khusus untuk pengembangan pengeluaran makanan dalam tin dan sos sedia ada.

Katanya, pembukaan kilang baharu ini berikutan pertumbuhan 2022 Adabi dan merupakan salah satu daripada beberapa pelaburan baharu Adabi untuk memenuhi permintaan Produk Sedia-untuk-Dimakan (Ready-To-Eat).

Proses awal menghasilkan sambal ikan bilis dalam tin yang dikeluarkan oleh Adabi.

“Tujuan kami mengajak pihak media melawat kilang ini adalah untuk menunjukkan bahawa kami telah meningkatkan keupayaan untuk mengeluarkan produk makanan dalam tin lebih banyak.

“Keduanya, adalah untuk menunjukkan bahawa kami komited untuk memenuhi permintaan daripada pasaran Malaysia dan pasaran eksport. Untuk kapasiti produk, satu hari kita boleh proses lebih kurang 28 hingga 30 tan.

“Objektif ketiga adalah menunjukkan kami komited untuk membantu ekonomi dari segi membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi penduduk setempat,” katanya pada sidang media selepas sesi lawatan bersama petugas media.

Tambahnya, produk makanan dalam tin keluaran kilang baharu termasuklah, Sardin dalam Sos Tomato, Sardin dalam Sos Tomato dengan Cili, Kari, Kurma, Rendang Ayam/Daging; Kari Kambing; Sambal Ikan Bilis/Kerang/Kupang; Sup Ayam/Daging/Tulang/Kacang; Kuah Kacang.

Pihak Adabi sentiasa mengutamakan cita rasa pengguna dalam menghasilkan sesuatu produk.

Untuk akan datang produk dalam tin baharu yang akan dikeluarkan adalah pelbagai hidangan berasaskan Makanan Laut, Daging sebagai produk Sedia untuk Dimakan.

Selain itu,  produk Sos keluaran kilang baharu juga merangkumi Sos Tiram  Sos Cili, Sos Tomato, Sos Makanan Laut dan Sos Korea (lima produk).

Bercakap memgenai keistimewaan produk Adabi, Syed Izmal berkata, selain harga murah pihaknya juga fokus pada kualiti dan cita rasa rakyat Malaysia.

“Produk yang kita buat memang secukip rasa dengan kehendak pengguna. Selain itu, kita juga menggunakan teknologi yang sangat bagus dan efisien untuk mengeluarkan produk dan kos kita akan lebih rendah.

Semua produk dalam tin yang dihasilkan di kilang ini sedia untik dimakan.

“Bila kos rendah kita dapat jual dengan lebih murah. Saya faham inflasi di Malaysia sangat tinggi dan kami sangat komited untuk fokus agar dapat jual produk pada harga berpatutan.

“Produk kami sudah dieksport ke Indonesia, Singapura dan Brunei. Kami juga ada misi untuk bawa produk Adabi ke regional (serantau) dan global. Kami sedang tengok negara Asean lain seperti Filipina dan Vietnam.

“Selepas Asean, kita boleh pergi ke global iaitu ke Kesatuan Europa dan Afrika. Itu dalam perancangan masa panjang Adabi,” katanya yang Adabi menyasarkan jualan julat daripada 400 juta ke 500 juta.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Adabi, Azizie Amad menegaskan bahawa kilang baharu tersebut  mendapat pengiktirafan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP).

Pihak media merupakan orang luar pertama yang dibawa melawat kilang di Rawang, selain kakitangan yang bertugas.

HACCP ialah sistem pengurusan keselamatan makanan yang diurus melalui analisis dan kawalan bahaya biologi, kimia dan fizikal daripada pengeluaran bahan mentah, perolehan dan pengendalian serta merupakan piawaian pensijilan yang diperlukan pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

“Orang selalu cakap makanan dalam tin ada bahan pengawet, sebenarnya tidak.  Makanan dalam tin keluaran Adabi boleh tahan dua hingga tiga  tahun kerana teknologi makanan.

“Untuk menghasilkan makanan dalam tin, prosesnya adalah sangat rigid dan ketat, sebab itulah ia mampu bertahan lama tanpa bahan pengawet.

“Proses terakhir adalah retort proses yang akan masak tin itu sehingga 121 darjah celcius dan itu yang akan mematikan bakteria dalam produk tersebut kalau ada.

“Kalau tin itu masih dalam keadaan baik tanpa kemek atau karat, 10 tahun kemudian pun boleh makan lagi. Tetapi regulation mengatakan dua atau tiga tahun saja.

“Kita nak terangkan supaya prasangka orang terhadap makanan dalam tin tidak benar. Proses teknologi itu yang memanjangkan usia produk tersebut,” katanya memberi penjelasan sebelum sesi lawatan.

Tambahnya, pada 2009 Adabi hanya mengeluarkan sardin sahaja dan kini Adabi  mempunyai 17 jenis makanan dalam tin dan itu merupakan satu perkembangan yang baik.

— BebasNews

Leave a Reply