Oleh : Mohd Shauki Abd Majid (dhomir.com)

DALAM amanat Perdana Menteri “Membangun Malaysia Madani” di Putrajaya baru-baru ini, beliau menggesa agar dilihat kembali konsep asabiyyah yang digagaskan oleh Ibnu Khaldun bagi tujuan membangun negara. Beliau menolak asabiyyah yang sempit yang boleh menggugat perpaduan rakyat dan keharmonian hidup umat Islam.

Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab seringkali mengalami peperangan dan pertumpahan darah antara suku kerana didorong oleh asabiyyah atau semangat kesukuan yang melampau (asabiyyah jahiliah). Suku yang kuat mengalahkan suku yang lemah dan tampil sebagai pemimpin dalam kalangan suku yang ditaklukinya. Nabi SAW melarang asabiyyah dalam erti yang sempit ini, tetapi menggalakkan asabiyyah yang berasaskan Islam (asabiyyah islamiah), yakni semangat nasional yang berjiwa Islam.

Nabi SAW menentang sikap fanatisisme atau perpaduan kesukuan (asabiyyah jahiliah) ini melalui perpaduan persatuan secara menyeluruh (jemaah asabiyyah Islamiah). Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (202H/817M – 261H/875M), Rasulullah SAW menegaskan bahawa barang siapa meninggalkan jemaah, lalu mati membela asabiyyah, maka dia mati secara jahiliah.

Penggunaan kata asabiyyah dalam hadis membawa maksud menolong kaum kerabat sendiri sedangkan mereka zalim. Ini berdasarkan hadis Nabi:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّة

Maksudnya: “Bukan termasuk ummatku bagi sesiapa yang menyerukan kepada asabiyyah” (Hadis riwayat Abu Daud). Dengan erti kata yang lain, hadis ini bermaksud bahawa sesiapa sahaja yang mengajak berkumpul atau berserikat dalam kerangka asabiyyah, maka sama ertinya menolong orang yang zalim.

Bagi memudahkan pemahaman kita, Rasulullah pernah mendiskripsikan asabiyyah ketika ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiyyah? Sabda baginda: “Tidak, sebaliknya asabiyyah itu ialah apabila kamu menolong kaum mu atas kezaliman” (Hadis Hasan riwayat Abu Dawud).

Dari hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Barangsiapa yang terbunuh di bawah panji-panji kesesatan, ia menyeru ‘asabiyyah’ atau menolong ‘asabiyyah’, maka bangkainya itu adalah bangkai jahiliah”.

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perasaan taksub dan asabiyyah atau dengan kata lain fanatik adalah diharamkan dalam agama Islam. Punca fanatisme melulu adalah disebabkan kejahilan ilmu pengetahuan. Kejahilan mempunyai implikasi buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seseorang individu, masyarakat dan negara.

TEORI IBNU KHALDUN

Asabiyyah merupakan istilah utama dalam teori Ibnu Khaldun (1332 – 1406), pemikir Islam dari Tunisia. Dalam bab ketiga bukunya, Muqaddimah, beliau membahaskan masalah asabiyyah berkaitan dengan perkembangan masyarakat dan negara. Menurut Ibnu Khaldun, tujuan asabiyyah ialah kekuasaan negara demi kebaikan rakyat. Oleh itu, asabiyyah tidak boleh sekadar dilandasi kekuatan fizikal yang mungkin cenderung kepada kejahatan, tetapi juga harus berasaskan moral, iaitu agama dan akhlak. Dari sudut pandangan ini, tampak bahawa Ibnu Khaldun memandang positif sikap asabiyyah.

Ibn Khaldun menyingkap faham kebangsaan berteraskan dua dimensi asabiah yang menurutnya boleh jadi positif atau negatif. Beliau mentakrifkan asabiyyah yang positif ialah semangat permuafakatan dan persefahaman yang terbentuk dalam struktur sosial masyarakat hingga membudaya sikap tolong-menolong dan bekerjasama antara satu sama lain.

Pandangan ini berpandukan kepada firman Allah:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَ لا تَعَاوَنُوا عَلَى ا لإ ثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Dan bekerjasamalah dalam perkara-perkara yang baik dan takwa dan janganlah bekerjasama dalam perbuatan-perbuatan dosa lagi menganiaya” (Al Maidah: 2).

Penjiwaan seutuhnya kepada nilai asabiyyah yang positif inilah yang mampu menggerakkan masyarakat Islam keseluruhannya untuk sama-sama terlibat secara aktif dan konstruktif dalam sebuah pasukan demi menjana tamadun bangsa yang unggul.

Sebaliknya sesebuah tamadun akan terdedah kepada kebinasaan sekiranya asabiyyah jahiliah yang berlandaskan sentimen perkauman sempit lebih mendominasi sesuatu bangsa.

Menurut Ibn Khaldun bangsa yang terbelenggu dengan asabiyyah jahiliah ini sering kali terbudaya dengan nilai sombong, tidak rasional sehingga menolak nilai-nilai kebenaran dan keadilan semata-mata atas dorongan sentimen dan kepentingan kelompok.

Asabiyyah diperlukan untuk menyokong seseorang sampai ke puncak kekuasaan. Oleh itu menurut Ibn Khaldun, asabiyyah sangat penting pada awal penubuhan sesebuah negara. Namun setelah kekuasaan negara yang diperjuangkan itu tercapai, maka perpaduan kesukuan atau asabiyah harus segera diganti dengan perpaduan secara menyeluruh (kebangsaan/ nasionalisme).

Sememangnya pandangan Ibn Khaldun mengenai kedua-dua dimensi asabiyyah ini amat penting untuk dihayati bagi meletakkan asas kefahaman nasionalisme di tempatnya. Malah dengan memahami konsep dan makna nasionalisme secara tuntas sahajalah dapat mengelakkan umat daripada terbelenggu dalam perbalahan istilah yang tidak menguntungkan.

Sehubungan dengan itu, Ibn Khaldun menyatakan bahawa asabiyyah yang ditentang oleh Syara’ dan Nabi Muhammad SAW itu ialah ‘asabiyyah yang berlaku dalam hubungan dengan penindasan dan perbuatan zalim, bukannya zat ‘asabiyyah itu sendiri, sebagaimana juga keadaan manusia dengan sifat marah.

Bentuk asabiyyah yang terpuji didokong oleh hadith yang dinukilnya dalam al-Muqaddimah yang bermaksud: “Allah tidak mengutus seorang nabi melainkan ia berada dalam lindungan kekuatan bangsanya” (illah fi man’ati qaumihi). Dengan itu Ibn Khaldun menafsirkan bahawa hadith yang menyebut “para imam itu mesti dari golongan Quraisy” itu maksudnya bukan hanya Quraisy yang layak menjadi pemimpin.

Dalam konteks seperti inilah asabiyyah diperlukan yang akan menjadi antara faktor-faktor yang membawa kepada kekuatan dan kejayaan bangsa. Menurut Ibn Khaldun, Asabiyyah (perpaduan sosial atau kesetiakawanan) amat penting untuk menciptakan perpaduan dan etika sosial yang mengikat hubungan manusia dalam sesuatu bangsa atau umat itu menjadi kuat.

Akan tetapi mana-mana golongan yang mempunyai kasih yang kuat kepada kaumnya dan kerjasama dengan mereka dan yang lain-lain yang berhubungan dengan mereka dalam hidup dan sejarah serta pengelaman hayat dan maut, yang menyebabkan adanya kerjasama dan perpaduan antara mereka ini. Maka beliau memandang ini faktor yang sangat penting dalam masyarakat yang dikehendaki.

Konsep asabiyyah yang digunakan oleh Ibn Khaldun dalam membicarakan kekuatan dan keberkesanan hidup serta kejayaan menjunjung agama dan tamadun melalui asabiyyah ini perlu dimenafaatkan oleh Muslimin untuk membina kekuatan sesama mereka. Dalam hal ini mereka perlu menunjukkan contoh yang baik dan berguna melalui perpaduan antara sesama mereka.

Maka usaha-usaha untuk menguatkan perpaduan melalui konsep asabiyyah ini perlu dijalankan dan faktor-faktor yang melemahkannya mesti dielakkan supaya dengan itu kekuatan bangsa dan negara akan terjamin dan agama boleh dijayakan dengan baik. Dalam hubungan dengan agama keadaan sedemikian rupa sehingga Ibn Khaldun menyatakan bahawa “tanpa asabiyyah syariat-syariat agama tidak akan berjaya dan berkesan dalam hidup manusia (la batalat)”.

Dalam konteks Malaysia Madani perpaduan dalam kalangan Islam perlu melangkaui ideologi politik bagi tujuan memartabatkan Islam.Kita perlu bersatu dan menepikan sentimen dan mimpi buruk masa lampau bagi kepentingan yang lebih besar iaitu Islam dan bangsa Melayu. Umat Islam yang semua adalah saudara seiman. Hayatilah firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalh kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (al hujurat: 10).

Justeru, sudah tiba masanya semangat kebangsaan yang pernah mencetuskan gelombang besar perjuangan Melayu kembali disemai dan disemarakkan dalam kalangan generasi muda kini. Perasaan cinta kepada negara yang lahir daripada penjiwaan kepada semangat kebangsaan yang Islamik pasti mampu menggerakkan setiap warga untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara secara ikhlas dan penuh amanah.

Cinta tanah air dan menjunjung semangat kebangsaan dicontohkan langsung oleh Nabi Muhammad SAW ketika baginda mendengar cerita tentang Makkah daripada sahabat Ushail. Setelah berhijrah ke Madinah dan lama tidak menginjakkan kaki ke Makkah, Nabi Muhammad SAW begitu rindu terhadap tanah kelahirannya. Baginda sampai sebak bercucuran air mata menahan rindu sambil bersabda: “Wahai Ushail, biarkan hati ini tenteram”.

Penghayatan kepada semangat kebangsaan berorientasikan nilai-nilai Islam sejati juga berupaya menjelmakan natijah positif terhadap apa jua usaha untuk membangunkan negara. Malah kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya fenomena ketirisan mahupun pengkhianatan dalam projek-projek pembangunan kerajaan juga mampu ditangani sekiranya setiap warga mempunyai iltizam dan komitmen padu untuk menjayakan sebarang misi dan visi negara.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply