Majlis menandatangani surat niat antara pihak Dekan Fakulti Sains Gunaan, Prof.Dr. Farida Zuraina Mohd.Yusof (duduk tiga dari kanan) dan Pengurus Besar Easy Pack Machinery Sdn. Bhd., Goh Ton Sin (duduk dua dari kanan).

SHAH ALAM — Syarikat mesin pembungkusan, Easy Pack Machinery Sdn. Bhd. (EPMSB) dan Fakulti Sains Gunaan (FSG) Universiti Teknologi MARA (UiTM) bekerjasama untuk mewujudkan jaringan industri dengan pelajar fakulti tersebut.

Dekan Fakulti Sains Gunaan UiTM Shah Alam, Prof. Dr. Farida Zuraina Mohd.Yusof berkata, kerjasama tersebut dimeterai pada majlis menandatangani surat niat antara pihaknya dan Pengurus Besar EPMSB, Goh Ton Sin.

“Secara dasarnya tujuan surat niat tersebut dimeterai adalah untuk mewujudkan kerjasama pihak EPMSB dari sudut jaringan industri dengan pelajar jurusan Sains dan Teknologi Makanan di UiTM Shah Alam.

“Sesi menandatangani surat niat dilakukan hari ini serentak dengan Pertandingan Inovasi Makanan dan Pembangunan Produk 2023 (FIPD 2023).

“Pertandingan inovasi ini merupakan kerja kursus utama pelajar semester 5 dan 6 Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan (AS246) UiTM Shah Alam dan UiTM Kuala Pilah bagi subjek Food Product Development (FST 668),”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Farida Zuraina berkata, pertandingan inovasi memerlukan pelajar menghasilkan produk makanan berasaskan ‘tuber-based food’ iaitu ubi yang menjadi tema bagi pertandingan edisi kali ini.

Katanya lagi, enam wakil industri iaitu termasuk Ton Sin sendiri,Pengurus dan Koordinator SLPM FFS Training & Consultant PLT, Fadzillah Haryati Mohamad Yusof, Pengurus Kanan Noraini Cookies Sdn. Bhd., Aminuddin Husin bersama lebih 20 juri daripada pelbagai bidang telah dijemput mengadili pertandingan inovasi tersebut.

“Wang tunai sebanyak RM 2,500 telah disumbang oleh EPSMB kepada pemenang produk inovasi makanan yang terbaik.

“Seramai 19 peserta terdiri daripada lima kumpulan dari UiTM Shah Alam dan UiTM Kuala Pilah bertanding dalam kategori yang dipertandingkan iaitu Persembahan Produk Terbaik untuk memenangi tiga tempat utama,” ujarnya.

— BebasNews

Leave a Reply