PASUKAN Malaysia yang memenangi pingat emas satu daripada acara chinlone, perkaitan atau linking Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah hanya menewaskan Filipina dan Brunei tanpa penyertaan Myanmar.
PERKATAAN sepak takraw wajar diutamakan di hadapan chinlone, kata seorang daripada pengasas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Tan Sri (Dr.) Mohd. Yussof Abdul Latiff menegaskan, keutamaan perkataan berbahasa Melayu dan Thailand itu bertujuan menghormati kesepakatan kedua-dua negara ini di samping Singapura ketika mempertandingkan sepak takraw mulai Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.
Ujarnya, sepak takraw turut perlu ditekankan penggunaannya kerana chinlone hanya dipertandingkan pada Sukan SEA di bawah naungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan bukannya secara bersendirian oleh badan induk sukan kebangsaan Myanmar itu.
“Astaf atau pihak berwajib Sukan SEA (Persekutuan Sukan SEA – SEAGF) patut menyedarinya daripada aspek sejarah atau latar belakang sukan sepak takraw lagi yang nama asalnya sepak raga jaring ciptaan Malaysia.
“Burma (nama asal Myanmar ketika 1965) enggan menyertai sepak takraw Sukan SEAP itu kerana nama chinlone saranan mereka tidak diterima dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur.
“Saya tiada masalah jika acara chinlone boleh melebihi sepak takraw dalam Sukan SEA akan datang tetapi Astaf khususnya wajar mewajibkan penggunaan nama sepak takraw di hadapannya, bukannya cuma chinlone,” kata Yussof, 92.

Beliau mengulas kembalinya chinlone ke arena Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja dari 6 hingga 16 Mei ini yang menawarkan sehingga 12 pingat emas iaitu yang terbesar dalam sejarah Sukan SEA/SEAP.
Yussof merupakan mantan Setiausaha Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu (PSRPTM, nama asal PSM) ketika ditubuhkan pada 25 Jun 1960 di Pulau Pinang selain pernah menyandang jawatan berkenaan bagi Astaf mulai 1967.
Empat pingat emas bagi setiap kategori lelaki, wanita dan campuran chinlone ini mengatasi hanya 10 pingat emas yang ditawarkan sepak takraw (enam kategori lelaki dan empat kategori wanita) di Phnom Penh nanti.
Acara-acara sepak takraw yang diluluskan Astaf dan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja pada 17 Januari lalu ialah regu berpasukan, antara regu, beregu, beregu berpasukan, kuadran (berempat) dan gelung.

Chinlone menjadi ‘ahli kerabat’ Sukan SEA sejak di Naypyidaw, Myanmar pada 2013 yang menawarkan lapan pingat emas lelaki dan wanita dan diteruskan di Singapura 2015 malah Kuala Lumpur 2017.
Namun chinlone yang format permainannya mirip sepak raga bulatan karya Malaysia, tidak mendapat tempat langsung dalam Sukan SEA Filipina 2019 dan Vietnam 2022.
Peliknya, sukan Myanmar ini yang ditadbir oleh Persekutuan Chinlone Asia (ACF) dan diterajui warganegaranya, Soi Naing tidak pula pernah secara rasmi diisytiharkan dinaungi atau menjadi ahli gabungan Astaf.
Sepak raga bulatan pula hanya pernah dipertandingkan sekali ketika Sukan SEA Vietnam 2003 dan sebelum itu pada Sukan Asia Bangkok 1998 dan Busan 2002. — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.