PENJAGA gol Malaysia, Hafizuddin Othman bertembung dengan Mustaphaa Cassiem ketika cuba mematahkan serangan Afrika Selatan. – Foto FIH
SUDAH antiklimaks, kepenatan atau masih dirundung duka?
Inilah yang terpapar pada Harimau Tangkas sehingga tumpas 6-3 kepada Afrika Selatan, petang ini.
Stadium Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela, India turut menyaksikannya dalam perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 Hoki Piala Dunia 2023 ini.
Mereka bagaikan belum cukup pulih daripada kekecewaan penentuan pukulan penalti 4-3 kepada Sepanyol dalam silang temu di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, Ahad lalu.
Sedangkan Afrika Selatan yang kalah ketiga-tiga perlawanan Kumpulan A sambil mendapat lebih rehat, rakus membolosi lawan sehingga 3-0 menerusi Bradley Sherwood, Guy Morgan dan Ntuli Nqobile pada minit kelapan, 16 dan 25.
Benteng negara, Razie Rahim merapatkan jurang kedudukan 1-3 dan 2-5 dengan tolakan leret kencang sudut penalti dan penalti strok pada minit ke-34 dan 44 yang menewaskan penjaga gol Gowan Jones.
Namun langkah Ama Stokke Stokke pula semakin jauh ke hadapan sehingga gol-gol Horne Keenan, minit ke-42, Cassiem Mustaphaa (43) dan Sherwood sekali lagi (56) menghukum skuad kendalian A. Arul Selvaraj bertubi-tubi.

Perantara, Firhan Ashaari menjaringkan gol penghabisan negara, empat minit sebelum siren akhir dengan menyambar pukulan percuma yang lewat diambil lawan lantas mudah memperdayakan Jones.
Malaysia akan bertemu pasukan yang kalah perlawanan antara Jepun dan India, malam ini bagi penentuan tempat ke-13 hingga 16 pada pukul 2 petang Sabtu ini (waktu kita) di stadium sama.


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.