LAIN penyanyi lain cara mereka menjaga fizikal bagi menambah tenaga dan memantapkan stamina. Begitu juga dengan Lah Ahmad yang sanggup berpuasa dan melantik doktor peribadi sepanjang latihannya bagi memastikan kejayaan konsertnya nanti.

Konsert Abdullah Ahmad atau mesra dipanggil Lah Ahmad ini, 25 Years Lah Ahmad Live In Concert bakal berlangsung pada 28 dan 29 Januari ini di Stage 1 Theatre, PJPAC 1 Utama E, Bandar Utama, Petaling Jaya.

“Demi konsert ini, sejak awal Januari lagi saya dah mula amalkan puasa setiap Isnin dan khamis. Kalau mampu, dalam seminggu saya akan berpuasa selama tiga hari pula. Ini semua saya lakukan bagi memastikan saya bertenaga dan ada banyak stamina masa konsert itu nanti.

“Saya juga mengupah doktor peribadi untuk memastikan tahap kesihatan saya baik dari masa latihan hingga hari konsert beberapa hari lagi. Doktor ini untuk jaga kesihatan saya daripada segi vokal. Takut saya terlebih ‘teran’ masa latihan…nanti hilang pula suara masa hari konsert sebenar. Itu sebabnya saya perlukan doktor peribadi untuk pantau suara dan menasihati saya,’’ kata Lah Ahmad yang sudah setahun merancang konsert tersebut.

Lah, 42,juga menambah yang dia tidak menyangka tiket konsertnya ‘laku keras’ ketika hari pertama ia dijual.

“Tak sangka, dalam masa satu jam ketika jualan tiket, jem system kami dibuatnya. Alhamdulillah, dalam masa 24 jam tiket saya berjaya dijual dengan banyaknya, Hinggakan talian sesak kerana begitu ramai yang berminat untuk membeli pada hari pertama dibuka untuk jualan.

“Tahun 2018 dulu saya pernah buat showcase secara kecil sahaja. Ramai yang merungut tak dapat join kerana yang datang lebih dari jangkaan. Sejak itu saya simpan cita-cita nak buat konsert yang lebih besar agar ramai dapat tengok persembahan saya.

“Kali ini, kebanyakan penonton yang datang adalah pasangan yang saya menyanyi dimajlis perkahwinan mereka. Kehadiran mereka ibarat nak sambut ulangtahun perkahwinan mereka juga. Dulu, nak teruskan kehidupan… saya terima apa saja undangan, baca selawat, maulid..selawat taslim untuk pengantin. Mana yang mengenali saya, minta juga saya menyanyi lagu-lagu biasa.”

Bercerita mengenai konsert tersebut, kata bapa kepada tiga cahaya mata ini lagi,“Saya bakal nyanyikan 20 buah lagu dan ada beberapa lagu juga yang akan dimedleykan. Persembahan malam pertama dan kedua ada beza sedikit untuk persembahan selama 2 1/2 jam itu nanti.

“Saya juga turut mengundang kumpulan Inteam yang selama ini banyak membantu karier seni saya. Saya juga akan berduet dengan Inteam menyanyikan lagu popular mereka, Kasih Kekasih. Shazzy yang saya tampilkan dalam lagu, Kenapa juga juga akan membuat persembahan selama dua malam berturut-turut. Pada malam itu juga saya akan melancarkan album keempat bertajuk ‘Jatuh’.

Menyentuh mengenai dirinya lagi, suami kepada Puteri Yasrina Mohd Yusof ini menambah, kini dia lebih senang bergerak solo.

“Senang bergerak solo berbanding kumpulan. Bila ada undangan menyanyi, senang saja nak buat keputusan. Tak dulu nak tanya orang sana dan sini. Bila ada yang free dan ada yang tak free akhirnya tawaran tersebut terpaksa ditolak kerana tidak cukup korum,”.

Lah Ahmad seronok berlakon

Dalam kesibukannya membuat persiapan konsertnya nanti, Lah Ahmad juga sempat berkongsi keseronokannya bergelar pelakon.

“Tahun ini saya bakal lebarkan sayap dalam dunia lakonan pula. Saya tak pernah terfikir pun nak jadi pelakon. Dah ada tawaran saya terima saja. Tahun lepas saya terlibat dengan drama, Bila Syaitan Berbisik arahan Rashid Sibir yang banyak mengajar saya. Tak sangka rupanya saya juga berminat dengan bidang lakonan selepas melangkah masuk ke dalam dunia lakonan.

“Dari bidang audio masuk bidang visual ini kita faham konsepnya sama. InsyaAllah, tahun ini saya mahu serius dengan dunia lakonan kerana rasanya cabaran berlakon dengan menyanyi tidak jauh bezanya,” ujarnya yang baru sahaja keluar dengan telefilem berjudul Mahligai Belum Terbakar.

— BebasNews

Leave a Reply