PIALA Sultan Ahmad Shah 2022 diperkenalkan pada 1985 yang adakalanya pada musim tertentu hanya berformat satu perlawanan yang berasingan daripada Liga Super. – Foto MFL

TIRAI Liga Malaysia 2023 bakal disingkap pada 24 Februari ini dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah turut kembali menjadi sebahagian kutipan mata perlawanan Liga Super.
Perlawanan antara penyandangnya yang juga juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pukul 9 malam.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, pungutan mata Liga Super hanya akan dikira mengikut keputusan masa penuh 90 minit perlawanan berkenaan manakala juara Piala Sultan Ahmad Shah ditentukan menerusi sepakan penalti jika masih seri selepas tempoh itu.
“Hanya 14 pasukan beraksi musim ini selepas dua kelab Liga Super (gambar kiri trofi kejuaraan) musim lalu, PJ City FC dan UiTM FC sah tidak akan bertanding.
“UiTM FC menarik diri kerana gagal mendapatkan dana pasukan manakala PJ City FC gagal menyelesaikan proses pengambilalihan pelabur baharu,” katanya dalam Majlis Taklimat Media Kalendar Liga Malaysia 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor, hari ini.

Selain JDT FC dan Terengganu FC, turut akan memperhebat Liga Super musim ini ialah Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC, Penang FC, Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, PDRM FC dan Perak FC.
MFL turut menstrukturkan semula format Piala FA dan Piala Malaysia 2023 dengan menjadikan kedua-duanya secara kalah singkir sahaja namun penentuan siapa wakil Malaysia ke Liga Juara Asia dan Piala AFC 2024 selepas itu, bergantung kepada pengumuman Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Piala FA 2023 (gambar kanan) akan dijalankan secara satu pusingan sahaja termasuk perlawanan-perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir.
“Tiga kelab terbawah Liga Super dan tiga kelab terbawah Liga Perdana 2022 akan bermain pusingan pertama sebagai tuan rumah menentang kelab Liga M3.
“Enam kelab teratas Liga Super 2022 dan dua kelab teratas Liga Perdana 2022 akan layak automatik ke pusingan kedua sebagai tuan rumah menentang pemenang perlawanan pusingan pertama,” katanya.
Piala Malaysia 2023 (gambar kiri) pula katanya, akan menyaksikan 14 kelab Liga Super dan dua kelab teratas Liga M3 2023 yang bermula selepas pertengahan musim iaitu pusingan pertama perlawanan minggu ke-13 Liga Super.
“Pasukan di kedudukan pertama hingga kelapan Liga Super pada minggu itu, diletakkan sebagai pilihan manakala yang kesembilan hingga ke-14 dan pertama serta kedua Liga M3, akan diundi untuk posisi pasukan ke pusingan kedua menentang pasukan-pasukan pilihan.
“Perlawanan pusingan kedua, suku akhir dan separuh akhir berformat timbal balik,” katanya.
Kata Stuart, penjadualan Liga M 2023 turut telah mengambil kira:
* Kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2023 melibatkan latihan pasukan kebangsaan (persiapan Piala Asia 2023)
* Liga Juara Asia AFC dan Piala AFC 2023
* Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC
* Kejohanan Bawah 23 Tahun Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF)
* Sukan Asia Guangzhou (Bawah 23 Tahun)
* Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh (Bawah 23 Tahun)
* Hari kelepasan am persekutuan dan negeri 2023
* Tempoh rehat dan perjalanan pasukan
Pertandingan lain kalendar MFL 2023
* Piala Pencabar (gambar kanan) dipertandingkan semula selepas kali terakhir pada 2019 membabitkan lapan pasukan yang tidak layak ke suku akhir Piala Malaysia. Penentuan jadual perlawanannya mengikut siapa pasukan pilihan dengan suku akhir, separuh akhir dan akhir berformat timbal balik.
* Piala MFL (Liga Simpanan Bawah 23 Tahun) diadakan buat kali pertama dan disertai 15 pasukan bawah 23 tahun kelab-kelab Liga Super dan Projek FAM-MSN yang dibahagikan Kumpulan A (lapan pasukan) dan B (tujuh pasukan) secara undian dengan penentuan kedudukan menurut Zon Tengah, Utara, Selatan, Timur, Borneo dan negeri yang mempunyai dua pasukan. Empat kelab teratas setiap kumpulan layak ke pusingan kedua, Liga Juara (sepusingan) dan dua teratasnya ke perlawanan akhir. — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.