DJ Dave dan pemegang amanah YKAT yang sentiasa berusaha untuk membantu artis dari masa ke semasa.

YAYASAN Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) berharap banyak pihak sudi menyokong usaha mereka untuk terus menjaga kebajikan artis tanah air.

Pengerusinya, Datuk DJ Dave berkata, sehingga kini YKAT telah membantu seramai 1, 700 warga seni sejak yayasan tersebut ditubuhkan pada 2012.

Selain DJ Dave, pengurusan YKAT turut dianggotai oleh lapan pemegang amanah berbilang kaum iaitu Datuk M Nasir, Datuk Nash, Datuk Yusof Haslam, Datuk Nancie Foo, Maj Gen Datuk Khairudin, Dr. Kanagarajan dan Colin Edmonds.

Sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini, YKAT  telah menyalurkan sumbangan bernilai RM8,000 kepada artis-artis tanah air yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Pelakon dan penyanyi, Janaky A/P Doraisamy, antara penerima sumbangan YKAT sempena Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pemuzik dari semua bangsa iaitu Melayu, Cina dan India. Sumbangan disalurkan kepada artis yang layak ini melalui sistem perbankan secara terus ke dalam akaun bank masing-masing, sebelum Tahun Baharu Cina.

Setiap seorang menerima RM 1,000 termasuk percuma keahlian Program Khairat YKAT berjumlah RM100 bagi mereka yang layak.

YKAT memberi sumbangan kepada artis berusia 60 tahun dan ke atas, termasuklah Ayai Illusi.

Antara artis-artis yang menerima sumbangan adalah Janaky A/P Doraisamy (Pelakon, Penyanyi, 72 tahun), Safar Ghaffar (Penyanyi, 65 tahun), Zahruddin Kamaruddin @ Ayai Ilusi (Penyanyi Band Ilusi, 61 tahun), Chng Shyue Chung (Penyanyi, 60 tahun), Chua Kee Seong (Penyanyi, 60 tahun), Kanna Dass A/L Maniakaran (Penyanyi, 60 tahun), Chik Soon King (Penyanyi, 60 tahun)  dan Low Whye Kaim (Penyanyi, 60 tahun).

Menurut DJ Dave, sumbangan tersebut adalah daripada dana yang diperolehi oleh kerajaan sejak penubuhannya pada tahun 2012.

Penyanyi Ching Shyue Chung, turut menerima sumbangan.

“Dana tersebut digunakan secara berhemah oleh pihak pengurusan YKAT untuk menjalankan pelbagai aktiviti seni juga membantu dalam kebajikan artis-artis tanah air.

“Tahun ini merupakan tahun ke-11 YKAT ditubuhkan. Sempena Tahun Baharu Cina yang dirai baru-baru ini, pihak YKAT mengambil kesempatan ini untuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang berusia  60 tahun ke atas kepada artis yang layak.

“Dalam masa yang sama kami turut berharap untuk terus mendapat sokongan dari pelbagai pihak baik dari segi tajaan dana mahupun apa juga sokongan agar kami terus-menerus menjaga kebajikan artis-artis tanah air,” katanya.

Penyanyi, Chik Soon King juga antara penerima sumbangan.

— BebasNews

Leave a Reply