A. Arul Selvaraj (bertopi) melaungkan arahan dari tepi padang di samping barisan pemain gantian negara. – Foto FIH

JANJI hendak menang yang sudah dua kali masih tidak tertunai.
Ahad lalu, Harimau Tangkas kalah penentuan pukulan penalti 4-3 kepada Sepanyol lantas kempunan suku akhir dan semalam, dibelasah Afrika Selatan 6-3 pada penentuan tempat kesembilan hingga ke-12.
Menjelang menentang Jepun dalam perlawanan klasifikasi ke-13 hingga ke-16, esok, A. Arul Selvaraj menabur janji lagi.
Ketua jurulatih negara ini berkata, “macam mana pun kami perlu lupakan perlawanan (semalam) dan kena menang perlawanan berikutnya.”
Jepun dibelasah India 8-0 juga di Stadium Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela lantas menjadi lawan kali penghabisan Malaysia dalam kempen Hoki Piala Dunia 2023 ini pukul 2 petang esok (waktu kita).

“Saya terlalu kecewa sebab pasukan hilang tumpuan dan kemampuan.
“Dua suku pertama permainan kami kalah. Ketika cuba bangkit balik suku ketiga dan keempat, disebabkan kena mara itu, bahagian belakang pula longgar apabila diserang balas,” ulasnya dalam video Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
Afrika Selatan yang di ranking ke-15 berbanding 10 milik lawan, akui Arul jelas bermain lebih cerdik daripada pasukan negara dengan kemampuan mereka yang lebih tinggi.
Sebaliknya anak buahnya pula didapati banyak melakukan kesilapan yang punca utamanya, gagal menguruskan emosi dan memupuk keyakinan diri.
“Yang positifnya mereka dapat kekang banyak (enam) pukulan sudut penalti Afrika Selatan. Hanya satu gol lawan akibat lantunan sudut penalti.
“Pujian kepada pemain dan penjaga gol yang menyelamatkan gawang. Namun sudut penalti kami dapat jaringkan satu yang tidak mencukupi langsung (menerusi Razie Rahim, minit ke-34),” katanya.
Sudah 32 kali Malaysia bertemu Jepun sejak 31 Ogos 1973 dengan mencapai 21 kemenangan, seri lima kali dan enam tewas.
Rekod 65.62 peratus kemenangan ini yang kali terakhir dicapai Harimau Tangkas ialah dalam Piala Negara-negara di Potchefstroom, Afrika Selatan pada 1 Disember lalu, 5-1.
Namun The Samurais pernah membelasah skuad negara 6-1 pada 21 Ogos 2019 dalam Kejohanan Ujian Sukan Olimpik di Tokyo. — BebasNews


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.