TIADA apa yang diinginkan oleh seorang pesakit selain mahu sembuh dengan cepat.
Setiap pesakit yang menjalani rawatan di hospital pasti gembira jika ada saudara mara atau sahabat yang datang menziarahi mereka.
Sekarang ini, penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza Ibrahim, 62, dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur kerana disahkan menghidap “Vocal Cord Palsy”.
Ternyata kunjungan daripada rakan -rakan artis sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada penyanyi yang popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dan Mimpi Yang Tak Sudah itu sejak dimasukkan ke wad HKL pada 15 Januari lalu.

Pihak Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) menziarahi Ibnor Riza petang semalam (25 Januari) dan disambut dengan senyuman oleh penyanyi berkenaan di samping isteri dan anak-anaknya.
“Kami telah dimaklumkan akan kesihatan Ibnor baru-baru ini oleh Datuk Nash. Namun kami masih belum berkesempatan untuk melawat beliau. Jadi, kami salurkan terus sumbangan RM2,000 ke akaun Ibnor pada 5 Januari lalu.
“Banyak juga saya nasihatkan beliau untuk sentiasa jaga makan dan positif dengan apa yang berlaku, kena kuat semangat, insya-Allah akan cepat sembuh,” kata Datuk DJ Dave selaku pengerusi YKAT.
Selama Ibnor Riza ditahan di wad akibat “Vocal Cord Palsy,” dia sentiasa ditemani isteri, Sarimah, 51 tahun dan anak-anak.

Menurut Sarimah, dia terpaksa berulang alik dari Seremban ke Kuala Lumpur sejak 19 Januari lalu sehingga ke hari ini. Ada ketikanya, dia akan menginap di hotel bajet berdekatan agar dapat sentiasa melawat suaminya itu.
“Saya gembira ada rakan-rakan artis datang melawat dan memberi kata-kata semangat.
“Hari ini pula, Datuk DJ Dave, Ann Ways dan Razis Ismail datang melawat saya. Saya
harap kesihatan saya segera pulih,” kata Ibnor Riza.
Semenjak mengalami masalah kesihatan ini, Ibnor Riza tidak dapat menerima jemputan nyanyian dan secara tak langsung sumber pendapatannya terjejas.
Seusai melawat, pihak YKAT menyalurkan lagi sumbangan berjumlah RM500 kepada penyanyi tersebut bagi meringankan beban perbelanjaan dan perubatan.
— BebasNews

Khadijah Ibrahim Penganalisis BebasNews. Beliau wartawan hiburan prolifik yang pernah menulis untuk Utusan Malaysia, Pancaindera, dan Mingguan Malaysia.