Restu harap karyanya diterima oleh pendengar muzik di Malaysia.

RAMAI yang bertanggapan membesar dalam keluarga berdarah seni mudah untuk seseorang itu mencipta nama dalam industri muzik.

Hakikatnya, Restu Van Houten selesa berdikari tanpa perlu bergantung kepada populariti ayahnya kerana itu memberikan lebih kepuasan buat jejaka berusia 17 tahun ini.

Restu atau nama lengkapnya, Mohammad Restu Gibran Van Houten adalah anak sulung vokalis Setia Band, Charly Van Houten dan Shinta Regina.

“Membesar dalam lingkungan pemuzik membuatkan darah seni turut mengalir dalam diri. Namun, ayah tidak pernah memaksa saya mengikut jejak langkahnya.

Restu Van Houten yakin dengan kebolehan diri tanpa perlu menumpang nama ayahnya, Charly Setia Band.

“Cuma, saya akhirnya membuat pilihan untuk bergerak sebagai pemuzik secara profesional. Ia pilihan sendiri, tiada paksaan daripada sesiapa,” katanya.

Menyifatkan muzik sebagai wadah untuk berkarya, Restu berkata, sokongan keluarga membuatkan dia semakin yakin meneruskan langkahnya sebagai anak seni.

Akuinya, sebagai anak kepada Charly, dia bersyukur diberikan kemudahan dan kelancaran untuk menentukan arah serta haluannya sebagai pemuzik. Situasi itu, bagaimanapun kata Restu, ada ketika membuatkan dia sedikit terbeban.

“Saya tidak lari daripada dibayangi ayah. Itu fakta kerana Charly adalah bapa saya. Apa yang mampu saya lakukan adalah buktikan kemampuan dan berdiri atas kekuatan bakat sendiri.

Sehingga kini Restu sudah ada dua single yang dijadikan sandaran kerjaya seninya.

“Saya yakin dengan bakat yang saya ada. Alhamdulillah, awal perjalanan saya bermula mulus, tetapi itu belum membuatkan saya puas dengan apa yang telah dicapai.

“Saya mahu memberikan lebih lagi dan menghasilkan karya yang bagus untuk mengangkat nama Restu Van Houten pada posisi lebih aman,” katanya.

Tambah Restu, Charly merupakan pendukung terbesar untuk kerjaya seninya kerana penyanyi itu sering mengingatkannya supaya fokus dan terus berkarya, meskipun berdepan dugaan serta rintangan.

“Secara jujur, karya ayah banyak mempengaruhi kerana sejak kecil, saya sudah ‘didoktrin’  dengan muzik yang dibawanya bersama ST12 dan Setia Band.

Beruntung dapat mengadakan persembagan sempena Konsert ST12 Reunion – 20 Tahun Charly Berkarya di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Mac depan.

“Namun, saya juga punya kecenderungan dan rujukan muzik yang tersendiri. Itu yang cuba saya gabungkan dalam karya yang saya hasilkan,” katanya yang tampil dengan single perdana, Saranghaeyo pada Mac 2022 di mana ayahnya bertindak sebagai penerbit di samping KGS M. Ipul.

Bernaung di bawah label berpengaruh, Trinity Optima, Restu berkata, dia hanya mencuba nasib apabila mengajukan karya yang dihasilkannya kepada syarikat rakaman tersebut.

“Alhamdulillah, ia diterima, biarpun terpaksa menunggu agak lama. Hampir setahun saya menanti sebelum mendapat respons daripada syarikat rakaman.

“Bersama mereka, saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dan membentuk identiti muzik Restu Van Houten sendiri tanpa dipengaruhi penyanyi sedia ada,” katanya yang tampil dengan single kedua, Jangan Ada Kata Pisah, November lalu.

Pada usia pembabitan yang masih setahun jagung, Restu bertuah apabila diberi penghormatan untuk turut sama beraksi dalam Konsert ST12 Reunion -20 Tahun Charly Berkarya yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Mac depan.

Bakal beraksi bersama Firman Siagian dan dua penyanyi terkenal Malaysia, Jaclyn Victor serta Ezad Lazim, konsert itu kata Restu, menjadi titik permulaan untuk dia memperkenalkan bakatnya kepada peminat muzik di negara ini.

“Saya berharap karya saya dapat dinikmati dan diterima penggemar muzik di Malaysia. Ia ruang terbaik untuk saya membuktikan bakat. Sebagai penyanyi baharu, saya terpacu dan bersemangat memberikan karya terbaik untuk dinikmati pencinta muzik di dalam dan luar Indonesia.

“Ayah sering bilang, saya harus menjadi anak lelaki yang bertanggungjawab dan tetap fokus dalam apa yang saya usahakan. Itu yang akan saya buktikan pada konsert itu nanti,” katanya.

Tiket Konsert ST12 Reunion – 20 Tahun Charly Berkarya berharga RM99, RM152, RM252 dan RM282 boleh diperoleh menerusi laman web: www.ticket2u.com.my.

— BebasNews

Leave a Reply